Migrasi warga desa ke bandar menurun

Migrasi warga desa ke bandar menurun

pada 2022, kadar migrasi dari bandar ke luar bandar mencatatkan sebanyak 16.7 peratus manakala peratusan penghijrahan luar bandar ke bandar hanyalah merekodkan angka 2.4 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jurang infra­struktur asas yang semakin mengecil dan kos sara hidup tinggi antara faktor utama yang menyebabkan trend penghij­rahan atau migrasi penduduk luar bandar ke bandar semakin berkurangan.

Ini berdasarkan kepada data yang menunjukkan sebanyak 30 peratus perpindahan pada 2020 telah menurun kepada 20.4 peratus pada 2022.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang berkata, rekod tersebut adalah hasil statistik yang dikeluarkan Jabatan Pe­rangkaan Malaysia 2023 berhubung trend aliran migrasi dalam ne­geri melibatkan penduduk dari desa ke bandar.

Katanya, ia sekali gus men­jelaskan kerajaan kini da­lam usaha meningkatkan keter­cu­ku­pan infrastruktur asas dan ke­mu­da­han sosial agar se­tanding de­ngan kawasan di ban­dar.

“Kementerian Kemajuan De­sa dan Wilayah sentiasa be­kerjasama dengan pelbagai pi­hak lain berkepentingan seperti jawatankuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), Ja­watankuasa Pembangunan Ke­selamatan Kampung dan Persekutuan ba­gi memastikan pembangunan luar bandar dijalankan dengan kompetitif dan memenuhi ke­perluan penduduk.

“Berkaitan pemantauan ketercukupan infrastruktur awal dan kemudahan sosial, ia dilakukan melalui sistem pemantauan dalaman projek kementerian dan sistem Myprojek dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Selain dari itu, kita juga mengambil dapatan daripada data yang diterbitkan Jabatan Perangkaan seperti laporan survey kemudahan asas, My Local Stat dan Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs),” katanya menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong di Dewan Negara, di sini semalam.

Terdahulu, Nai Kwong meminta kementerian menyatakan trend migrasi penduduk dari desa ke bandar dan sebaliknya, sejak 2020 hingga 2024 serta bagaimanakah kementerian menilai ketercukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial di luar bandar agar setanding dengan kawasan bandar.

Mengulas lanjut, Rubiah turut berkata, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 menjadi tunjang dalam melaksanakan program pembangunan kesejahteraan Luar Bandar.

“Setiap tahun kementerian mengadakan makmal yang memberi fokus kepada apa yang ditumpukan setiap tahun. Kalau tahun depan bermula Januari kita kena ada fokus kerana bajet sudah diluluskan, jadi fokus perlu diambil kira.

“Kementerian memainkan peranan penting melalui pendekatan holistik, pendidikan, kesihatan dan pemberdayaan komuniti dan dasar ini adalah untuk membangunkan luar bandar dan tekankan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan elektrik,” ujarnya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar migrasi dari bandar ke luar bandar tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan jumlah lebih tinggi berbanding peratusan penghijrahan dari luar bandar ke bandar.

Pada tahun 2018, kadar migrasi bandar ke luar bandar mencatatkan angka 19.5 peratus manakala perpindahan dari luar bandar ke bandar hanyalah 4.8 peratus.

Terbaharu, pada 2022, kadar migrasi dari bandar ke luar bandar mencatatkan sebanyak 16.7 peratus manakala peratusan penghijrahan luar bandar ke bandar hanyalah merekodkan angka 2.4 peratus.

Utusan Malaysia sebelum ini juga melaporkan trend migrasi dari bandar ke luar bandar dijangka terus meningkat sehingga tiga peratus lagi tahun ini iaitu daripada 16.7 peratus pada 2022 kepada hampir 20 peratus berikutan kos sara hidup yang menekan di bandar-bandar.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, secara purata, pendapatan bulanan penghuni di bandar-bandar sekitar RM6,000, namun tidak cukup untuk menampung kos sara hidup dan komitmen pelbagai aspek.

Bagaimanapun, menurut beliau, di luar bandar pula pendapatan bulanan sekitar RM3,000 sudah memadai untuk membina kehidupan harian selain sesebuah keluarga itu hidup lebih aman.

“Tidak dinafikan jurang pendapatan dan ketidakseimbangan ekonomi antara kota dan desa wujud, tetapi trend migrasi dari bandar ke luar bandar kini bertambah disebabkan kos sara hidup.

“Pada masa sama, faktor lain menarik minat orang kota berhijrah ke desa adalah disebabkan peruntukan besar kerajaan setiap kali belanjawan bagi pembangunan sosioekonomi, penambahbaikan infrastruktur, pemberian geran, modal perniagaan dan sebagainya.

“Pada 2022 hingga 2023 sahaja sebanyak RM11 bilion diperuntukan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan luar bandar dengan memberi tumpuan kepada sektor perlombongan, pertanian, perhutanan dan sebagainya. Ia menarik minat orang bandar untuk berhijrah,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN