Mesin tanam padi tingkat hasil sekali ganda

Mesin tanam padi tingkat hasil sekali ganda

PENGGUNAAN teknologi mesin menanam padi mampu membantu pesawah meningkatkan hasil sehingga lapan tan metrik perhektar di Kampung Hujung Bukit, Bintong, Kangar. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesawah perlu beralih sepenuhnya daripada kaedah tanaman secara tradisional kepada penggunaan teknologi mesin menanam padi atau transplanter yang mampu membantu meningkatkan hasil sekali ganda selain menjimatkan kos.

Ia juga sebagai satu daripada usaha membantu meningkatkan hasil pengeluaran beras negara.

Perlis antaranya, mampu meningkatkan hasil sehingga 240,000 tan metrik semusim dengan peningkatan kira-kira 78 peratus jika lebih 17,000 pesawah di negeri ini beralih kepada penggunaan teknologi mesin berkenaan.

Melalui kaedah tanaman tradisional sebelum ini, pesawah negeri ini yang mengusahakan tanaman di kawasan seluas 30,000 hektar di dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu hanya mampu menjana hasil 135,000 tan metrik semusim.

Hasil 240,000 tan metrik semusim iaitu peningkatan sehingga 105,000 tan metrik melalui penggunaan mesin menanam padi itu bakal menyaksikan Perlis mampu menyumbang lebih 20 peratus pengeluaran beras negara berbanding ketika ini hanya sekitar 11 peratus.

Ketika ini, program atau projek ke arah peningkatan hasil padi yang dilaksanakan sejak April lalu di negeri ini, membabitkan tujuh buah kampung dengan penglibatan kira-kira 332 pesawah di kawasan seluas 360 hektar.

Antara kampung terlibat dengan projek berkenaan ialah Kampung Balik Bukit, Kampung Semadong, Kampung Nesam, Kampung Oran, Kampung Hujung Bukit, Kampung Abi Kubang Badak dan Padang Siding.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, penggunaan teknologi jentera berkenaan untuk proses menanam padi mampu meningkatkan hasil sehingga lapan tan metrik perhektar selain menjimatkan kos, masa serta mengelakkan masalah padi angin.

Katanya, melalui kaedah tradisional, kelaziman hasil adalah sekitar empat ke lima tan metrik perhektar selain mengundang pelbagai risiko lain khususnya masalah padi angin.

Justeru katanya, para pesawah khususnya di negeri ini digalakkan untuk beralih kepada penggunaan mesin menanam padi tersebut, sekali gus membantu kepada peningkatan hasil serta keterjaminan makanan negara.

“Penggunaan mesin menanam padi ini mampu menjimatkan kos daripada segi penggunaan benih dan input pertanian. Ia juga membantu mengawal padi angin, siput gondang yang sekali gus mengurangkan risiko padi rebah.

“Pada masa ini, terdapat lapan mesin berkenaan yang digunakan untuk projek tanaman padi di kampung-kampung terlibat itu. Untuk meningkatkan hasil, kita perlu beralih arah kepada penggunaan teknologi itu. Selain hasil lumayan ia juga membantu meningkat kualiti padi tersebut,” katanya.

Tambah Razali, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diharap dapat beralih kepada tanaman padi menggunakan teknologi berkenaan.

“Kita juga berharap kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi tumpuan dan keistimewaan kepada Perlis yang juga antara negeri yang menjadi penyumbang kepada hasil beras negara. Antaranya dengan mewujudkan kilang pemprosesan benih padi,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata, dalam usaha menarik pesawah di negeri ini beralih kepada teknologi berkenaan, kempen serta projek pilot peningkatan hasil padi tersebut akan dilaksanakan secara berterusan.

Kata beliau, pada tahun depan, pihaknya menyasarkan projek tersebut dilaksanakan di kawasan seluas 1,000 hektar dan dalam tempoh lima tahun pula, semua pesawah di negeri ini sudah boleh beralih sepenuhnya kepada penggunaan teknologi berkenaan.

“Apabila pesawah melihat kelebihan mesin menanam padi itu mampu meningkatkan hasil selain menjimatkan kos serta mengurangkan risiko padi angin, ia akan membantu menarik minat pesawah. Selain itu, kita juga menggalakan pesawah mengikut panduan dan amalan yang betul untuk kerja-kerja penanaman padi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN