SEREMBAN: Ketegasan kerajaan negeri mengenai isu ancaman pencemaran alam khususnya yang berlaku di Sungai Linggi di sini, terus diingatkan kepada masyarakat.
Kali ini Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa ketua-ketua kampung untuk memainkan peranan mereka bagi meningkatkan kesedaran komuniti di peringkat akar umbi berkenaan kepentingan menjaga sungai tersebut.
Pada satu majlis di sini semalam, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan untuk membawa ketua-ketua kampung di daerah ini bersama ahli jawatankuasa untuk menelusuri sepanjang Sungai Linggi.
“Sesekali saya mahu minta JPS, BKSA, buat lawatan bersama ketua kampung di sekitar Seremban ini untuk menelusuri sepanjang Sungai Linggi sampai Kuala Linggi.
“Ia untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku di Sungai Linggi, sungai tempat kita ambil air untuk minum, melihat kerosakan yang berlaku apabila kita tidak menjaga alam sekitar, saya harap dengan adanya nanti dapat berhentikan dan kurangkan kerosakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Menandatangani dan Penyampaian Nota Persefahaman (NoU) Sektor Aktiviti Hijau dan Kitar Semula Bagi Program Sejahtera Komuniti Madani Negeri Sembilan.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil-wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan persatuan-persatuan penduduk.
Pencemaran terhadap Sungai Linggi kerap kali dilaporkan kebelakangan ini sama ada berpunca daripada pelepasan bahan pencemar oleh industri ataupun berkaitan pembuangan sampah oleh penduduk.
“Saya sendiri melihat perbuatan membuang sampah ke sungai ketika pergi ke Pasar Besar Seremban. Mereka melakukannya sesuka hati dan tiada adab,” kata Aminuddin seperti dilaporkan sebelum ini.
Utusan Malaysia sebelum ini juga beberapa kali melaporkan gesaan pelbagai pihak supaya pelbagai isu terhadap Sungai Linggi khususnya berkaitan pencemaran dapat diuruskan dengan baik.
Sementara itu, Menteri Besar memaklumkan menyokong dan berbesar hati sekiranya pihak komuniti dapat meluaskan projek upcycling iaitu mengubah barangan dan bahan terpakai menjadi produk baharu yang bernilai.
“Contohnya, botol plastik, tayar, tiub, plastik, bungkusan makanan plastik, lebihan kain, pakaian lama, kertas, dan wayar elektrik diubah menjadi menjadi barang perhiasan seperti pasu bunga. Menerusi pelaksanaan program seperti ini, kerajaan neger yakin amalan 3R dapat diperkasakan,” katanya – UTUSAN