PETALING JAYA: Mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri ditemukan dalam sebuah bagasi di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussien Onn, Kajang, dekat sini hari ini.
Mayat di dalam beg bagasi berwarna biru itu ditemukan orang awam kira-kira pukul 11.45 pagi tadi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, beg bagasi itu ditemukan dalam keadaan mencurigakan dan berbau busuk di lokasi kejadian.
Kata beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah ke lokasi kejadian bersama pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) mengesahkan beg bagasi itu mengandungi mayat seorang lelaki.
“Mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijangka akan dijalankan esok pada pukul 9.00 pagi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
“Sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden R.K Umesh di talian 012-6114900. – UTUSAN