LIMA: Seorang bekas pemandu penghantar makanan di Peru mengejutkan pihak berkuasa apabila didapati ‘menjalin hubungan’ dengan sebuah mumia purba yang disimpan bersamanya selama hampir tiga tahun.
Julio Cesar Bermejo, 26, ditahan oleh polis ketika sedang bersantai bersama beberapa rakannya di sebuah taman di kawasan Puno dan apa yang mencetuskan kecurigaan ialah beg penghantar makanan dibawanya yang rupanya menyimpan mayat mumia berusia berabad-abad.
Menurut laporan tempatan, mumia tersebut ditemui dalam kedudukan berbaring seperti janin dan berbalut kain pembalut lama, tersimpan dalam beg penebat haba yang lazim digunakan oleh penghantar makanan.
Lebih mengejutkan, Bermejo mengaku kepada pihak polis dia memanggil mumia itu sebagai “Juanita” dan mendakwa ia merupakan kekasih spiritualnya.
Dalam hantaran media sosial, dia berkata mumia tersebut sentiasa bersama dengannya ketika berada di dalam bilik dan tidur bersamanya namun, kenyataan itu segera disangkal oleh pakar dari Kementerian Kebudayaan Peru yang mengesahkan mumia tersebut sebenarnya adalah seorang lelaki bukan wanita seperti yang didakwa.
“Bukan Juanita, tapi Juan,” ujar seorang pakar kementerian selepas memeriksa artifak berkenaan.
Menurut mereka, mumia itu berkemungkinan berasal dari kawasan timur wilayah Puno dan meninggal dunia pada usia sekitar 45 tahun.
Bermejo turut mendakwa mumia berkenaan telah berada dalam keluarganya sejak dia masih bayi, dan dibawa pulang oleh bapanya hampir 30 tahun lalu.
Ketika ditahan, Bermejo berada bersama beberapa rakan yang menurutnya “ingin melihat Juanita”, dan difahamkan mereka semua sudah mengetahui mengenai kewujudan mumia tersebut.
Kini, pihak Kementerian Kebudayaan telah merampas mumia berkenaan untuk kajian dan pemuliharaan, manakala Bermejo masih ditahan polis untuk siasatan lanjut mengenai pemilikan dan penyimpanan artifak bersejarah tanpa kebenaran. -AGENSI










