Kekurangan promosi faktor rakyat pilih menu tidak berkhasiat.

Kurang promosi punca rakyat pilih makanan tidak sihat

Pemakanan antara yang menyumbang terhadap kegemukan berlebihan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING  JAYA: Kekurangan promosi mengenai pemakanan yang sihat merupakan antara faktor rakyat Malaysia lebih gemar memilih menu tidak berkhasiat sehingga menghadapi masalah kesihatan walaupun pada usia muda.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Mohd. Redzwan Sabran berkata, dengan kesedaran tentang makanan yang diambil dan perancangan pemakanan yang betul, tidak mustahil rakyat Malaysia boleh menjaga kesihatan diri walaupun memilih untuk makan di luar.

“Makanan yang dijual di kedai-kedai mempunyai kandungan kalori, gula dan garam yang tinggi dan berupaya meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi. 

“Sekiranya pemakanan tidak dipantau, ia boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang seterusnya mencetuskan masalah tekanan darah serta peningkatan kadar gula dalam darah,”  katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, rakyat Malaysia belanja RM1,200 sebulan makan di luar. Ketagihan makan di luar menyebabkan sebahagian besar pendapatan bulanan rakyat negara ini dihabiskan untuk memenuhi keinginan tersebut. 

Malah, amalan itu mengakibatkan penyusutan pendapatan isi rumah, sekali gus menjadikan mereka lebih terkesan terhadap kenaikan mendadak harga makanan dimasak, meskipun kadar inflasi utama menunjukkan penurunan.

Sebaliknya, Pensyarah Pemakanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata, rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai akses yang meluas terhadap makanan sihat. 

“Masyarakat mempunyai akses tetapi kurang pengetahuan dan kemahiran dalam memilih makanan yang lebih sihat. 

“Namun, tidak dinafikan juga harga pilihan makanan sihat lebih tinggi berbanding makanan yang sihat. Sebagai contoh, ikan goreng biasanya dijual dengan harga lebih murah berbanding dari ikan bakar atau kukus,” katanya. 

Hamid Jan berkata, kaedah terbaik untuk menjaga pemakanan adalah dengan mengamalkan konsep suku-suku separuh seperti saranan Kementerian Kesihatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×