PONTIAN: Deruan enjin motosikal memeriahkan lagi hari terakhir Festival D’Kukup 2.0 (FDK 2.0) yang diadakan di Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) dengan kehadiran ribuan penunggang pada program ‘Kukup Motorday’ di sini.
Pelbagai jenis motosikal, sama sama yang retro dan terkini membanjiri kawasan TNJTP yang datang dari pelbagai negeri, termasuk dari Singapura dengan tujuan merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan peminatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan dalam ucapan ringkasnya mencadangkan supaya mereka menjadikan TNJTP sebagai salah satu destinasi wajib pada setiap tahun.
“Saya mengalu-alukan kehadiran penunggang motosikal ke DUN Kukup bagi sama-sama memeriahkan Festival D’ Kukup 2.0 sebagai satu usaha mempromosi TNJTP sebagai destinasi pelancongan.
“Semoga TNJTP menjadi salah satu lokasi untuk berhimpun bagi ‘bikers’ di Johor dan seluruh negara pada masa akan datang seperti di Desaru, Kota Tinggi mahupun Phuket di Thailand,” katanya.
Jefridin menzahirkan perasaan gembira dengan kehadiran para penunggang dan peminat motosikal ke TNJTP pada hari akhir FDK 2.0 yang berjaya mencapai sasaran 20,000 pengunjung.
“Kehadiran ‘bikers’ bukan sahaja untuk bertemu kawan-kawan di sini, malah juga membantu mempromosikan TNJTP sebagai lokasi utama pelancongan bagi daerah Pontian dan negeri Johor.
Beliau berharap, Tourism Johor dapat memasukkan program itu dalam kalendar pelancongan negeri pada setiap tahun dengan menjadikan TNJTP sebagai lokasi perjumpaan.
Dalam pada itu, para penunggang dinasihatka supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya dalam menjaga keselamatan diri dan pengguna yang lain.
Dalam pada itu, seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup menerima topi keledar percuma yang disumbangkan oleh Jefridin bagi kegunaan mereka.










