KUALA LUMPUR: Projek rintis kelas hibrid akan diperluaskan ke 400 sekolah berbanding 110 sekolah sedia ada dengan peruntukan RM340 juta mulai tahun 2025 sehingga 2029.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penambahan ini susulan maklum balas positif diterima berikutan inisiatif itu berupaya membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Beliau berkata, perluasan kelas hibrid adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula tahun ini sehingga 2029.
Bagaimanapun, tambahan kelas hibrid itu bukan saja tertumpu di sekolah dalam kawasan bandar malah pihaknya turut mengenal pasti sekolah di luar bandar untuk tujuan itu bagi memastikan tiada sesiapa tertinggal dalam aspek pembelajaran.
“KPM merancang perluasan kelas hibrid daripada 110 buah sekolah kepada 400 buah sekolah di bawah Projek RMK12 RP 5 mulai tahun 2025 sehingga tahun 2029 dan ia juga akan diseragamkan kepada 15 lokasi termasuk pusat sumber, bilik pentadbiran dan kelas hibrid.
“Projek ini merangkumi tiga skop utama iaitu pendawaian elektrik RM20 juta peruntukan disediakan, peranti RM 153 juta peruntukan disediakan dan rangkaian Internet RM167 juta peruntukan disediakan dan jumlah peruntukan yang disediakan untuk perluasan kepada 400 buah sekolah ini adalah sejumlah RM 340 juta.
“Kelas hibrid terbukti berupaya memperkasakan PdP melalui integrasi teknologi yang memudahkan pelajar dan guru. Kejayaan projek rintis ini menggalakkan kami untuk memperluaskan manfaatnya kepada lebih banyak sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalam Jalamudin Yahya (PN-Pasir Salak) yang meminta kementerian menyatakan adakah terdapat kajian terhadap keberhasilan projek rintis kelas hibrid sebagai proses PdP baharu, termasuk institusi pendidikan dan sekolah yang terpilih di seluruh negara.
Tambah Kah Woh, terdapat cadangan supaya diwujudkan lebih banyak video pengendalian dan pengguna kemudahan agar boleh memudahkan guru mengendalikan peralatan serta kemudahan disediakan.
“KPM akan terus berusaha menyokong usaha berkenaan dengan menambah baik keperluan dari segi latihan, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), capaian internet dan keselamatan kelas hibrid.
“Melalui kaedah ini, pakar dari pelbagai bidang dapat dilibatkan bagi meningkatkan kualiti penyampaian Pendidikan dalam kalangan guru dan juga murid.
“Melalui pelaksanaan rintis kelas hibrid ini, semua kelas terbabit dinaik taraf dari segi pendawaian elektrik, kelengkapan, kemudahan peralatan digital seperti ‘smart board’, televisyen pintar, set kamera, perakam suara dan sebagainya.
“Infrastruktur rangkaian dalaman juga dinaik taraf bagi membolehkan capaian internet disediakan di semua kelas terbabit,” katanya. – UTUSAN










