Kos Projek Rancangan Tebatan Banjir cecah RM392 Bilion

Kos Projek Rancangan Tebatan Banjir cecah RM392 Bilion

Jabatan Penerangan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menganggarkan kos keseluruhan sebanyak RM392 bilion diperlukan untuk melaksanakan 365 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara. 

Namun, peruntukan tahunan yang diterima kerajaan pada masa ini tidak mencukupi untuk menampung kos sebesar itu, memaksa pelaksanaan projek dilakukan mengikut keutamaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, keperluan kewangan yang begitu tinggi menjadikan pengurusan peruntukan perlu dilakukan secara strategik dan berhati-hati. 

“Dengan hanya RM1 bilion diperuntukkan setakat ini, kerajaan terpaksa menumpukan kepada projek-projek kritikal di kawasan yang paling terjejas dan memerlukan perhatian segera.

“Bajet yang diperlukan bagi menyelesaikan isu banjir mencecah hampir RM392 bilion, namun peruntukan yang kita terima setakat ini hanya RM1 bilion. 

“Disebabkan kita mempunyai masalah peruntukan yang terhad, kerajaan terpaksa memberi keutamaan kepada projek-projek tebatan banjir yang benar-benar memerlukan, mengikut keutamaan kawasan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) yang meminta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menyatakan langkah yang diambil bagi meningkatkan persediaan menghadapi banjir.

Tambah beliau, tumpuan utama diberikan kepada kawasan berisiko tinggi yang kerap terjejas oleh banjir besar, termasuk kawasan penempatan padat dan lokasi strategik yang penting untuk ekonomi negara. 

Katanya, projek-projek itu termasuk pembinaan infrastruktur saliran moden, pembaikan sistem perparitan, serta pembangunan empangan dan kolam takungan air sebagai langkah mitigasi.

Menurutnya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diperlukan bagi memastikan projek-projek itu dilaksanakan dengan berkesan. 

Tambahan pula, katanya, perubahan iklim yang semakin ketara menjadikan usaha mitigasi banjir lebih mendesak.

“Perubahan iklim membawa cabaran besar kepada negara, dengan pola hujan yang tidak menentu dan kekerapan banjir yang semakin meningkat. 

“Oleh itu, kerajaan perlu membuat keputusan mengikut keutamaan dalam menyelesaikan masalah banjir ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN