IPOH: Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana isu pengibaran bendera negara China di Teluk Intan pada Oktober lalu.
Usul itu dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti kerajaan, Jason Ng Thien Yeong (DAP-Astaka), susulan beberapa kenyataan didakwa dikeluarkan oleh Razman yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Perak.
Ketika membacakan usulnya semasa Sidang DUN Perak semalam, Jason mendakwa Ketua Pembangkang cuba mengaitkan ADUN Kepayang dan ADUN Pasir Bedamar dengan perhimpunan di Teluk Intan selain membangkitkan status warganegara sekumpulan mereka yang mengibarkan bendera negara asing itu.
Semasa persidangan DUN Perak pada Isnin lalu, Razman mendakwa ada senarai nama mereka yang dikatakan terlibat dalam kejadian pengibaran bendera itu yang terjadi pada hujung Oktober lalu berdekatan Dataran Menara Condong Teluk Intan sehingga mengundang perang mulut pelbagai pihak.
Beberapa ADUN daripada parti kerajaan kemudian bangkit mempersoalkan dakwaan tersebut dan meminta Razman mengemukakan bukti serta-merta jika senarai nama itu adalah rakyat tempatan.
Razman menjawab beliau hanya mempunyai senarai nama, namun meminta siasatan dibuat oleh pihak berkuasa untuk pengesahan.
Usul ADUN Astaka itu disokong oleh ADUN Pantai Remis. Persidangan DUN Perak akan berakhir pada 5 Disember dengan tumpuan utama ialah pembentangan Belanjawan Negeri bagi tahun 2025. – UTUSAN