Hilang hasil sawit RM1.7b

Hilang hasil sawit RM1.7b

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyusutan 137,133 hektar ladang kelapa sawit milik pekebun kecil daripada 955,811 hektar pada 2020 kepada 818,678 hektar pada 2024, mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil eksport mi­nyak kelapa sawit bernilai RM1.7 bi­lion setahun.

Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pada tahun 2020, keluasan ladang kelapa sawit milik pekebun kecil adalah sebanyak 955,811 hektar.

Bagaimanapun, jumlah itu menyusut kepada 863,360 hektar pada tahun 2021; 816,107 hektar (2022); 822,073 hektar (2023) dan 818,678 hektar (2024).

Bagi setiap hektar ladang kelapa sawit, pekebun kecil mampu mengeluarkan purata hasil se­banyak 15 tan buah dan 20 pe­ratus daripada jumlah itu ber­upaya menghasilkan minyak sawit mentah pada kadar RM4,171 per tan mengikut harga pasaran semasa.

Keluasan 137,133 hektar itu juga bersamaan 192,035 padang bola sepak mengikut standard piawaian antarabangsa.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, banyak faktor menyumbang kepada penyusutan keluasan ladang kelapa sawit milik pekebun kecil.

Katanya, ramai pekebun kecil masih terhalang untuk me­laksanakan tanaman semula sawit kerana syarat tanaman di dalam geran tidak ditulis kelapa sawit sedangkan tanah tersebut adalah tanah pertanian.

“Kerajaan-kerajaan negeri dilihat tidak proaktif mengambil pendekatan tidak mahu menukar status tanaman dan tanah walaupun kelapa sawit telah diusahakan di atas tanah berkenaan sejak sekian lama.

“Keadaan itu mungkin menyumbang kepada trend penurunan keluasan ladang kelapa sawit milik pekebun kecil di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

ADZMI HASSAN

Adzmi berkata, akibat daripada masalah status tanah yang tidak diperakui sebagai tanah sawit, pekebun kecil yang mengusahakan tanaman itu tidak layak memperoleh beberapa kemudahan disediakan kerajaan iaitu mendapatkan lesen menjual dan mengalih hasil sawit daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Mereka juga tidak layak menerima geran tanam semula di bawah skim kerajaan dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Kesan ketara yang membimbangkan adalah ramai pekebun kecil memilih memberhentikan aktiviti menanam semula walaupun pokok lama telah ditebang untuk ditanam semula atau ber­alih ke tanaman lain yang tidak memerlukan lesen khas.

“Akibatnya, program tanam semula yang dirancang kerajaan menjadi sukar untuk dicapai sepenuhnya di peringkat pekebun kecil yang menyumbang 14.6 peratus daripada ke­seluruhan keluasan ladang sawit negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau ber­kata, PKPKM menyambut baik komitmen Menteri Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM1.4 bilion untuk pelaksanaan program tanam semula kelapa sawit negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Katanya, langkah itu me­nunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pekebun kecil, namun pada masa sama, beberapa perkara wajar diberi perhatian oleh agensi kerajaan yang terlibat untuk memastikan keberkesanan tindakan di lapangan.

“PKPKM mencadangkan agar semua pentadbir tanah negeri mempermudah urusan ini dengan melonggarkan syarat di mana cukup sekadar tanah tersebut berstatus pertanian, pekebun kecil seharus­nya dibenarkan menjalankan aktiviti tanam semula kelapa sawit serta layak menerima lesen jual dan alih sawit, serta layak untuk pensijilan MSPO,” katanya.

Selain itu, Adzmi berkata, terdapat punca lain yang mungkin menyumbang kepada penyusutan keluasan ladang kelapa sawit milik pekebun kecil itu, antaranya disebabkan harga pasaran buah sawit ketika itu terlalu rendah khususnya ketika wabak Covid-19 melanda negara dahulu.

Katanya, keadaan itu menyumbang kepada rasa tidak berbaloi untuk mengusahakan ladang kelapa sawit sehingga menyebabkan pekebun kecil merasakan tidak berbaloi untuk mengusahakannya lagi.

“Jadi ada di antara mereka menukar aktiviti pertanian di atas tanah itu kepada tanaman lain seperti durian yang lebih bernilai tinggi dan sebagainya dan tidak berminat untuk kembali mengusahakan tanaman kelapa sawit.

“Isu kekurangan tenaga kerja yang kritikal sejak beberapa tahun lalu juga berkemungkinan menyumbang kepada penyusutan itu kerana keba­nyakan pekebun kecil adalah golongan warga emas selain kos pengurusan ladang sentiasa meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN