Pentadbiran melebihi Perlembagaan, Trump mahu jadi ‘raja’ di AS

Pentadbiran melebihi Perlembagaan, Trump mahu jadi ‘raja’ di AS

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sejak kembali memulakan penggal kedua pentadbiran, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump cuba mengawal hampir semua aspek pemerintahan, termasuk kuasa perundangan dan Perlembagaan yang sepatutnya bebas daripada campur tangan eksekutif.

Beliau kini berada dalam konfrontasi terbuka dengan badan kehakiman Persekutuan selepas cuba menekan institusi itu dengan memintas perintah mahkamah yang menghalang agendanya dan menyaman ha­kim bagi dakwaan salah laku.

Pendekatannya seolah-olah mahu meletakkan kuasa Presiden melebihi badan pemantau undang-undang, malah mengatasi sistem raja berperlembagaan.

Pemerhati politik dan tokoh undang-undang memberi amaran corak pemerintahan sebegini, jika tidak dibendung, akan mencipta ‘acuan politik’ baharu yang berbahaya.

Ia seakan memberi isyarat mana-mana Presiden selepas ini boleh meniru langkah serupa untuk menghakis kuasa kehakiman dan memusatkan kuasa di tangan eksekutif dan seterusnya membuka jalan kepada keruntuhan sistem Perlembagaan AS yang dibina sejak lebih dua abad lalu.

Saman mahkamah

Musim panas ini, pentadbiran Trump menyaman keseluruhan mah­kamah daerah di Maryland selepas ketua hakimnya menghalang pengusiran pendatang.

Peguambela, Paul Clement menyifatkan langkah tersebut sebagai luar biasa dan jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa.

Baru-baru ini, pasukan Trump turut memfailkan aduan salah laku kehakiman terhadap Ketua Hakim Mahkamah Daerah Columbia, James ‘Jeb’ Boasberg, berhubung komen yang didakwa dibuat secara peribadi kepada Ketua Hakim Mahkamah Agung, John Roberts pada Mac lalu.

Ketegangan itu dijang­ka berlarutan selepas mah­kamah rayuan pada Jumaat memutuskan Boasberg tidak boleh meneruskan prosiding menghina mahkamah terhadap pegawai pentadbiran Trump, yang didakwa mengelirukannya dalam kes segera membabitkan tahanan migran yang dihantar ke penjara di El Salvador.

Dengan hakim-hakim lantikan Trump di seluruh negara terus memberikan kemenangan kepada kes-kes melibatkan pentadbiran beliau, kemampuan badan kehakiman menjadi pengimbang kuasa eksekutif semakin terhakis.

“Mereka cuba mengugut, mengancam, dan melanggar sempadan kuasa mahkamah dalam cara yang belum pernah kita lihat,” kata seorang bekas hakim mahkamah Persekutuan yang enggan dinamakan kepada CNN.

Mahkamah masih memiliki kuasa seperti menghukum pihak yang ingkar perintah secara serta-merta, memanggil saksi, menuntut dokumen, memulakan siasatan bebas, atau merujuk kes untuk pendakwaan jenayah dan mengenakan penalti sivil.

Namun, kebanyakan hakim kini enggan bergerak terlalu cepat untuk menghukum pentadbiran Trump.

“Hakikatnya, kami berada di bawah belas kasihan pihak eksekutif,” kata seorang lagi bekas hakim mahkamah rayuan, merujuk kepada kekurangan kuasa penguatkuasaan berbanding kua­sa pendakwaan dan polis yang dimiliki Rumah Putih.

Sesetengah hakim seperti Boasberg di Columbia dan Paula Xinis di Maryland meneliti langkah yang boleh diambil untuk menangani ketidakpa­tuhan de­­ngan mempertimbangkan tindakan menghukum atau memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ahli pentadbiran Trump.

Namun, di kedua-dua mah­kamah tersebut, pentadbiran Trump dilaporkan menangguhkan pelaksanaan perintah hakim apabila tahanan dihantar ke sebuah penjara di El Salvador tanpa melalui proses undang-undang yang sewajarnya dengan beberapa lagi proses perundangan kini dilaporkan bergerak sangat perlahan.

Ranapkan sistem perundangan

Dalam sesetengah keadaan, hakim lantikan Trump cuba meredakan konflik antara pentadbiran dan badan kehakiman.

Mahkamah Agung dengan majoriti konservatif lebih berpihak kepada Trump dalam kebanyakan pertikaian kecemasan berhubung kuasanya mengubah bentuk kerajaan Persekutuan.

Namun, tidak semua lantikan Trump menyebelahi kuasa eksekutif, antaranya Hakim di Rhode Island, Mary McElroy yang berani menegur Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar kerana gagal membayar geran perumahan bernilai AS$760 juta (RM3.2 bilion) seperti diarahkan mahkamah.

Di Columbia, Mahkamah Rayuan yang majoritinya lantikan Trump menghentikan prosiding menghina mahkamah terhadap anggota pentadbiran, mengurangkan keupayaan Boasberg mengumpul bukti berhubung dakwaan ketidakpatuhan pegawai terhadap mahkamah.

Seorang hakim lantikan Trump, Greg Katsas berkata, langkah itu dibuat bagi ‘meredakan’ pertikaian berpanjangan antara badan eksekutif dan kehakiman.

Pada Jun lalu, seorang pemberi maklumat mendakwa pe­gawai kanan Jabatan Kehakiman (DOJ) ketika itu, Emil Bove, mengarahkan peguam su­paya mempertimbangkan un­­tuk mengabaikan perintah mahkamah.

Bove yang juga bekas peguam peribadi Trump, kemudiannya dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan Litar Ketiga yang mengawasi Pennsylvania, New Jersey dan Delaware.

Bove baru-baru ini memberitahu Senat, beliau tidak mengingati sama ada pernah membuat kenyataan itu.

Boasberg menjadi sasaran kritikan Trump dan penasihatnya selepas bertindak menghalang penghantaran tahanan ke El Salvador dan mengarahkan mereka diterbangkan kembali ke AS pada Mac lalu.

Pada Julai, DOJ memfailkan aduan salah laku terhadap beliau, mendakwa Boasberg cuba mempengaruhi Roberts dalam pertemuan hakim-hakim Per­se­kutuan.

Pentadbiran menafikan melanggar perintah dan menuduh Boasberg mula bertindak ‘atas prasangka’ selepas pertemuan itu.

Profesor Undang-Undang Geor­­g­e­town, Steve Vladeck menyifatkan aduan DOJ terhadap Boasberg sebagai ‘memalukan’ dan bertujuan untuk menakut-nakutkan hakim lain serta menggembirakan penyokong Trump.

Beberapa hakim percaya negara kini berada pada peringkat awal krisis Perlembagaan.

Hakim konservatif, J. Harvie Wilkinson III memberi amaran dalam satu penghakiman yang konflik kuasa antara eksekutif dan kehakiman boleh melemahkan kedua-duanya dan meninggalkan ‘jurang tragis’ dalam sejarah.

Seramai 11 bekas hakim Per­sekutuan dari pelbagai pentadbiran turut mengeluarkan amaran jika pendekatan ini diteruskan, ia akan memusnahkan sebarang usaha kehakiman mempertahankan bidang kuasanya dan me­lemahkan keberkesanan mahkamah negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×