TUMPAT: Kes penyeludupan barang kawalan bersubsidi menurun ketika musim banjir melanda negeri ini.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, hanya satu kes dicatatkan dalam tempoh hampir dua minggu banjir melanda negeri ini.
Katanya, penurunan kes itu kerana kawalan dan keselamatan bagi mengekang penyeludupan tetap diperketat walaupun dalam situasi banjir sekali pun.
“Satu kes rampasan itu membabitkan penyeludupan petrol menggunakan kereta Proton Waja dengan tangki kenderaan diubahsuai.
“Rampasan tersebut dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga pada 5 Disember lalu dan seorang lelaki Thailand ditahan,” katanya kepada pemberita sempena lawatan di pusat pemindahan banjir (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di Pengkalan Kubor di sini hari ini. – UTUSAN