PETALING JAYA: Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang menggunakan modus operandi ‘counter setting’ bagi membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal didakwa di mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan bagi mendakwa dua pegawai terbabit yang juga dikatakan dalang utama akan bergantung kepada pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, kes tersebut mungkin akan dibawa ke mahkamah pada bulan Disember.
“Jika tidak, kemungkinan pendakwaan akan ditangguhkan sehingga awal tahun hadapan. Keputusan ini terletak sepenuhnya di tangan DPP,” katanya saksidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) tahun 2024 di Auditorium Angkasa, di sini, hari ini.
Azam juga mengalu-alukan usaha Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam memastikan integriti dan mutu perkhidmatan oleh pegawai di barisan hadapan, terutamanya mereka yang bertugas di kaunter pemeriksaan.
“Pegawai-pegawai berkenaan perlu menjadi contoh tauladan yang baik dan menjalankan tugas mereka dengan penuh ketelusan dan tanggungjawab,” tambahnya. – UTUSAN