Hasrat rakyat melihat parti tempatan terajui kerajaan Sabah sudah menjadi kenyataan bawah kepimpinan GRS

Hasrat rakyat melihat parti tempatan terajui kerajaan Sabah sudah menjadi kenyataan

JONISTON beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada majlis penyerahan peralatan ICT kepada gereja Katolik Kampung Mantob, di sini, hari ini. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIULU: Hasrat rakyat Sabah ingin melihat parti tempatan menerajui pentadbiran negeri kini sudah menjadi kenyataan di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata sebagai gabunganparti berteraskan tempatan, GRS kekal sebagai platform terbaik untuk menyatukan rakyat serta memimpin negeri ini ke arah kemajuan sambil terus mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.

“Rakyat sudah lama ingin melihat parti tempatan menentukan hala tuju Sabah dan perkara itu sudah menjadi kenyataan di bawah GRS.

“Sentimen rakyat yang semakin meningkat menunjukkan dengan jelas bahawa rakyat Sabah mahu negeri ini diterajui parti tempatan yang kukuh dan bersatu,” katanya pada majlis penyerahan peralatan ICT kepada gereja Katolik di Kampung Mantob, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, keputusan Pakatan Harapan (PH) menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua

Menteri turut menggambarkan pengiktirafan terhadap hasrat rakyat supaya parti tempatan terus memimpin kerajaan negeri.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang menyokong UMNO untuk mengambil alih kerajaan negeri.

“Itulah perbezaan yang jelas,” katanya merujuk kepada percubaan gagal, yang dikenali sebagai langkah Kinabalu untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Hajiji pada Januari 2023,” katanya.

Joniston menegaskan, GRS kekal relevan sebagai gabungan yang menekankan kerjasama membina serta saling menghormati antara parti komponennya.

“Dalam politik, perbezaan pasti wujud, namun yang penting bagaimana kita menguruskannya dengan rasa hormat, kesabaran dan keutamaan kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara pemimpin Sabah membolehkan penyelarasan lebih baik dalam menangani isu-isu utama seperti pembangunan luar bandar, infrastruktur dan peluang ekonomi.

Pada majlis itu, Joniston menyerahkan komputer riba dan projektor kepada empat gereja Katolik sebagai sebahagian daripada usaha GRS meningkatkan akses digital komuniti.

Katanya, kerajaan GRS sentiasa peka terhadap keperluan semua golongan termasuk sekolah mubaligh, sekolah persendirian Cina dan badan keagamaan bukan Islam.

Beliau berkata, sebanyak RM70 juta diperuntukkan kepada institusi berkenaan tahun ini dan RM90 juta lagi akan disalurkan tahun depan, jumlah tertinggi pernah diberikan membuktikan komitmen kerajaan GRS Plus terhadap prinsip inklusif dan keadilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN