PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan 5.74 juta siswazah pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 4.2 peratus berbanding 2022 dengan lebih dua pertiga bekerja dalam kategori pekerjaan mahir.
Laporan Statistik Siswazah 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, siswazah kini mewakili 22.3 peratus daripada penduduk yang berusia 15 tahun ke atas.
Daripada jumlah ini, 4.92 juta siswazah aktif dalam tenaga buruh menghasilkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) yang tinggi iaitu 85.7 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, persekitaran ekonomi dan pasaran buruh yang positif sepanjang 2023 telah memberi sumbangan besar kepada peningkatan bilangan siswazah.
Menurut beliau, pemegang ijazah menyumbang 54.4 peratus iaitu 3.12 juta orang), manakala pemegang diploma pula menyumbang 45.6 peratus iaitu 2.62 juta orang.
“Pada 2023, bilangan siswazah yang bekerja meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 4.76 juta orang berbanding 4.53 juta orang pada 2022 berikutan pertumbuhan pasaran buruh yang lebih baik.
“Daripada jumlah ini, kira-kira dua pertiga atau 67.6 peratus bekerja dalam kategori pekerjaan mahir iaitu seramai 3.21 juta orang.
“Kategori ini meliputi golongan profesional (57.4 peratus), juruteknik dan profesional bersekutu (24.2 peratus) serta pengurus (18.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kategori separuh mahir menyumbang 31.3 peratus atau 1.49 juta orang, manakala golongan yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah hanya mencatatkan 1.1 peratus (51,800 orang).
Kata beliau, kategori mahir mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 7.8 peratus, diikuti kategori separuh mahir dengan kenaikan 0.2 peratus berbanding 2022.
Sebaliknya, kategori berkemahiran rendah menunjukkan penurunan yang ketara sebanyak 22 peratus.
Mohd Uzir berkata, kategori pekerja mencatatkan sumbangan tertinggi kepada pekerjaan siswazah iaitu sebanyak 87.4 peratus atau 4.16 juta orang pada 2023 dengan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding 2022.
Jelasnya, bilangan siswazah dalam kategori majikan meningkat 9.3 peratus kepada 251,400 ribu orang, manakala golongan yang bekerja sendiri pula meningkat sebanyak 13.5 peratus kepada 310,700 ribu orang.
“Dari segi pengagihan sektor ekonomi, sektor perkhidmatan mencatatkan bilangan siswazah bekerja tertinggi iaitu sebanyak 77.5 peratus atau 3.69 juta orang.
“Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang menyumbang 13.4 peratus (637,900 orang) dan sektor pembinaan yang mencatatkan 6.3 peratus (301,100 orang).
“Sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian masing-masing mencatatkan 1.7 peratus dan 1.0 peratus dengan jumlah siswazah yang bekerja sebanyak 83,000 orang dan 46,800 orang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sentiasa menjadi cabaran di Malaysia dan peringkat global.
Tambah beliau, Malaysia juga sudah mengambil langkah dalam menangani guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dan menunjukkan komitmen dalam menyelaraskan kelayakan tenaga kerja dengan keperluan pasaran buruh.
“Pada 2023, jumlah siswazah bekerja di bawah kelayakan menurun sebanyak 0.7 peratus kepada 1.54 juta orang, menjadikan kadar guna tenaga tidak penuh siswazah berkaitan kemahiran turun kepada 32.4 peratus.
“Pencapaian ini meletakkan Malaysia di hadapan negara seperti Indonesia (44.4 peratus), Korea Selatan (37.4 peratus) dan Vietnam (35 peratus) yang menunjukkan usaha dalam mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran.
“Walaupun Malaysia masih berada di belakang negara maju seperti Australia (26.5 peratus), Amerika Syarikat (26.1 peratus) dan United Kingdom (20.3 peratus), trend penurunan ini menunjukkan potensi untuk penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.










