Jambatan runtuh sukarkan pergerakan penduduk

Jambatan runtuh sukarkan pergerakan penduduk

PENDUDUK menunjukkan keadaan jambatan yang runtuh di Kampung Sungai Kurong, Chenderiang, Tapah. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kira-kira 300 penduduk dari tiga buah kampung di Chenderiang di sini berdepan kesukaran ekoran jambatan utama perhubungan kampung mereka runtuh ekoran banjir Oktober lalu.

Berikutan itu, jambatan berkenaan kini hanya boleh dilalui kenderaan kecil iaitu basikal dan motosikal melibatkan Kampung Sungai Kurong, Kampung Sungai Kurong Dalam dan Kampung Orang Asli Sungai Kurong sahaja.

Penduduk, Mohd. Jalil Amiruddin, 62, berkata, situasi itu menyebabkan ada terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan kurang selamat untuk menghantar anak ke sekolah.

“Saya berharap jambatan baharu dapat dibina dengan segera kerana sukar untuk penduduk membeli barangan keperluan kerana lokasinya yang lebih jauh berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jambatan runtuh berusia lebih 50 tahun terletak di Sungai Itam itu merupakan nadi perhubungan penduduk, justeru Mohd. Jalil menyarankan agar jambatan baharu dibuat dua lorong kerana penduduk amat memerlukan sebuah jambatan ganti kekal lebih luas dan selesa.

Penduduk kampung, Latifah Idris, 67, turut meluahkan rasa kesukaran melakukan aktiviti seharian kerana jalan alternatif digunakan adalah terpencil selain tidak memiliki ciri-ciri keselamatan untuk kegunaan harian penduduk, lebih-lebih lagi buat  kanak-kanak dan remaja terutamanya perempuan yang terpaksa melalui jalan berkenaan pada awal pagi dan menjelang senja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kurong, Mohd. Zafri Adenan, berkata, hasil aduan orang ramai dan tindakan segera pihak terlibat, jambatan baharu akan dibina tidak lama lagi apabila Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meluluskan peruntukan RM300,000 kepada Majlis Daerah Tapah untuk membina jambatan baharu secepat mungkin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN