KUANTAN: Istana Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita pada April, tahun depan.
Hantaran dalam laman media sosial Instagram yang dimuat naik sendiri oleh pengguna platform dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) menyaksikan wanita berkenaan ‘menerangkan’ tentang majlis perkahwinannya bersama Tengku Mahkota Pahang.
Menurut hantaran di Story Instagram berkenaan, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan dan menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Istana Pahang beberapa kali mengesan hantaran yang dimuat naik individu sama.
Justeru, pihaknya meminta orang ramai tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain daripada Portal Rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Youtube menggunakan nama Kesultanan Pahang.
“Tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu gugat keharmonian khususnya Istana Pahang,” katanya. – UTUSAN