PETALING JAYA: Penyanyi, Jaclyn Victor, mendedahkan pernah menyimpan hasrat mempunyai sebuah patung mainan semasa kecil namun tidak berani meminta kepada ibu kerana hidup dalam kemiskinan.
Cerita Jaclyn, sejak bapanya meninggal dunia pada usia sembilan tahun, keluarga mereka menyambut Krismas dengan sederhana apalagi ibunya, Maggie Victor melakukan tiga kerja untuk menyara keluarga.
“Oleh sebab saya membesar dalam keadaan serba susah, saya tidak berani minta apa-apa kerana tidak mampu. Cuma waktu kecil, saya teringin patung mainan Barbie.
“Saya ingat lagi, waktu itu Krismas, pak cik saya bawakan hadiah. Bila saya buka, rupa-rupanya sebuah anak patung. Walaupun bukan jenama Barbie, seingat saya namanya Candy, saya menjerit gembira sebab sudah lama mahukannya.
“Saya tidak tahu bagaimana pak cik boleh baca fikiran saya. Itu kenangan yang sangat bermakna.
“Tambahan pula dia sudah meninggal dunia ketika saya di tingkatan lima. Sehingga hari ini saya rasa kehilangan kerana dia adalah pak cik yang paling rapat dengan saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dibesarkan dalam kemiskinan membuat Jac atau Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 40, berusaha semampunya memastikan keinginan dua orang anaknya dipenuhi.
Bukan itu sahaja, semasa Krismas, dia juga tidak lokek memberikan hadiah kepada keluarga serta anak saudara.
“Bila sudah dewasa, saya tidak lagi mengharapkan hadiah tetapi mahu memberi kepada orang lain pula seperti anak buah saya.
“Ia sesuatu yang normal sahaja, cuma dahulu kita tidak dapat semua itu, jadi ia membuatkan saya mahu beri kepada orang lain walaupun hadiah itu tidak mahal.
“Bila sudah ada anak, saya mahu berikan yang terbaik kepada mereka, bukan hanya semasa Krismas semata-mata. Kadangkala kalau saya jalan di mana-mana dan nampak sesuatu yang cantik, saya akan belikan buat mereka,” tambahnya.
Bercerita mengenai sambutan Krismas tahun ini, penyanyi Gemilang itu tidak sabar mahu menikmati salad kentang buatan ibunya.
“Sudah menjadi kebiasan di Malaysia ini kita hidup bergaul pelbagai bangsa. Termasuklah juga makanan. Walaupun sambut Krismas, tapi keluarga saya akan masak bermacam hidangan pelbagai keluarga seperti rendang atau buat muruku.
“Tapi yang paling dinantikan semestinya ayam golek dan salad kentang buatan ibu. Semua orang yang datang ke rumah akan buru salad kentang sebab memang sedap,” ceritanya. -UTUSAN