PETALING JAYA: Kerajaan perlu menghadkan penerimaan pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang kini hampir mencecah 192,000 bagi menjaga kepentingan ekonomi domestik.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, negara berhadapan pelbagai masalah antaranya ketirisan subsidi apabila golongan itu ‘membolot’ barangan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia sedangkan pelarian UNCHR tidak membayar cukai atau levi kepada kerajaan.
Beliau berkata, ketirisan subsidi dan perbelanjaan kos sara hidup asas kepada pelarian mengakibatkan penambahan beban ekonomi kepada kerajaan selagi mereka berlindung di sini.
“Kehadiran mereka juga mengakibatkan banyak penempatan haram mula dibina secara sembunyi yang lama kelamaan bertukar menjadi kampung dengan kegiatan ekonomi dalaman mereka secara haram, tidak berlesen bahkan mendirikan sekolah tanpa mengikut silibus pembelajaran Kementerian Pendidikan.
“Pengambilan tanah haram ini juga kemudiannya menimbulkan masalah kepada negara serta meningkatkan kos operasi apabila proses pengambilan semua tanah ingin dilakukan dan mereka memberontak serta merusuh sedangkan mereka bukan pemilik aset tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, kehadiran pelarian turut meningkatkan kes jenayah di negara sehingga mengancam keselamatan orang awam.
“Ada juga di kalangan mereka ini mengambil kesempatan berkahwin dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan status kewarganegaraan namun pada akhirnya memberi beban kewangan dan mengabaikan ekonomi rumahtangga,” katanya.
Untuk rekod, jumlah pelarian UNCHR di Malaysia setakat September lalu mencatatkan seramai 191,832 orang di seluruh negara. Mereka terdiri daripada pelarian Myanmar 168,813; Pakistan (5,755); Yaman (3,837); Somalia (1,918) dan Afghanistan (1,918).
Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, kerajaan perlu berhati-hati menerima kehadiran pelarian tanpa perancangan kerana dikhuatiri golongan ini akan menguasai sesuatu kawasan dan menjadikannya sebagai ‘wilayah’ seperti berlaku di Pasar Borong Selayang dan Puduraya.
Oleh demikian, beliau meminta kerajaan menghadkan jumlah pelarian supaya dapat diurus dengan baik.
“Jika tidak memadai diberi bantuan awal sahaja kepada pelarian-pelarian ini mengikut kemampuan dan kekangan-kekangan sedia,” katanya.










