Dua sahabat berjalan kaki ke Mekah

Dua sahabat berjalan kaki ke Mekah

MOHAMAD Al-Bukhari Ellia (dua dari kiri) dan Mohamad Azizul Abdullah (dua dari kanan) diiringi beberapa penduduk kampung memulakan misi berjalan kaki dari Changkat Lobak di Bagan Serai ke Mekah, semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Dua sahabat dari Changkat Lobak di sini memulakan ekspedisi luar biasa berjalan kaki dari kampung mereka ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji tahun depan.

Mohamad Al-Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, yang mula berjalan kaki dari kampung mereka di sini semalam, menyasarkan untuk berjalan 10 jam sehari.

Mereka akan berjalan kaki hingga ke Bangkok, Thailand dan kemudian menaiki pesawat ke India sebelum menyambung berjalan kaki hingga ke Mekah.

Mohamad Azizul berkata, idea untuk berjalan kaki ke Mekah itu diinspirasikan daripada kisah sahabat-sahabat Nabi yang mengembara untuk berdakwah.

UKHUWAH

Katanya, mereka juga mahu membuktikan Islam adalah agama yang penuh kasih ­sayang menerusi ukhuwah dengan setiap saudara seagama di sepanjang perjalanan.

“Kami sudah merancang secara teliti perjalanan kami ini sejak tiga bulan yang lalu. Kami mempersiapkan jasmani dan rohani termasuk membawa semua kelengkapan yang diperlukan seperti dapur, pakaian yang sesuai, khemah dan juga dari segi kewangan.

“Kami sudah melakukan latihan berjalan kaki dari Changkat Lobak ke Cameron Highlands sejauh 220 kilometer sebagai persiapan mental dan fizikal untuk ekspedisi ke Mekah ini.

“Ekspedisi ini bukan sekadar untuk menunaikan ibadah haji tetapi juga untuk memupuk rasa kesedaran khususnya golongan muda supaya melakukan umrah dan haji ketika usia muda,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sebelum memulakan perjalanan dari Masjid Changkat Lobak di sini semalam.

Bagi Mohamad Al-Bukhari, dia bertekad untuk membukti­kan cabaran kesihatan yang di­hadapinya bukan halangan untuk mencapai cita-cita dan menyahut panggilan Baitullah.

MESEJ

“Dalam ekspedisi ini, saya mahu menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya tidak perlu bimbang untuk melakukan pemindahan buah pinggang kepada ahli keluarga yang memerlukannya kerana ia tidak mengganggu rutin harian mereka sebagaimana saya,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohamad Al-Bukhari, Salabiah Mat, 59, berkata, pada awalnya, dia keberatan membenarkan anaknya itu untuk melakukan misi itu memandangkan dia hanya memiliki satu buah pinggang.

Namun, katanya, melihat ke­sihatan anaknya baik dan tidak ada sebarang impak selepas me­lakukan pemindahan buah pinggang, dia mengizinkannya.

“Saya yakin mereka akan berjaya dalam misi berjalan kaki ke Mekah, saya sentiasa mendoakan mereka,” katanya.

Isteri Mohamad Al-Bukhari, Nurul Hasanah berkata, dia ikhlas melepaskan suaminya bagi mencapai impian untuk menunaikan haji dengan berjalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN