KUALA LUMPUR: Cubaan seorang lelaki menyogok pegawai polis sebanyak RM50,000 agar melepaskan dia dan tiga rakan yang terlibat dalam pemerdagangan pendatang asing tanpa izin (Pati) gagal apabila diberkas di Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbuatan mereka itu dikesan dalam Op Taring Wawasan Kelantan oleh pasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) polis, Sabtu lalu.
Menurutnya, kira-kira pukul 6.30 pagi, pasukan operasi mengesan tiga kereta jenis Honda Civic, Perodua Myvi dan Ativa dalam keadaan mencurigakan di tepi semak di Jalan Sri Cemerlang.
“Tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 32 tahun yang disyaki bertindak sebagai tekong ditahan bersama tiga kenderaan dalam satu operasi khas pihak berkuasa di sini.
Turut ditahan, 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, termasuk 11 lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini..
Menurut Razarudin, hasil soal siasat terhadap salah seorang tekong telah membawa kepada penahanan seorang ejen sindiket berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
“Ketika dalam perjalanan ke balai polis, ejen berkenaan dilaporkan cuba merayu agar dibebaskan bersama tiga tekong warga tempatan dengan menawarkan wang tunai sebanyak RM50,000 kepada pegawai operasi.
“Namun, pegawai terbabit telah memberi amaran supaya tidak melakukan perbuatan tersebut. Walaupun begitu, suspek sekali lagi cuba menyogok sebelum ditahan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.
Tambah beliau, operasi tersebut turut menyaksikan sitaan beberapa barangan, termasuk tiga kenderaan, telefon bimbit dan wang tunai RM50,000.
“Semua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. –UTUSAN











