KANGAR: Negeri-negeri khususnya ditadbir oleh Pas perlu membuat kesediaan ke arah melaksanakan hukuman sebat secara terbuka terhadap pesalah syariah sebagaimana dilakukan kerajaan negeri Terengganu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Terengganu di atas keberanian melaksanakan hukuman tersebut, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, selain negeri diperintah Pas, negeri lain sepatutnya mengikut jejak langkah Terengganu melaksanakan perintah Allah SWT itu.
Katanya, hukuman sebat secara terbuka itu dilihat hanya permulaan dan apabila mengikut perintah wahyu di dalam melaksanakan undang-undang Islam itu ia akan mendapat keberkatan.
“Hukuman sebat secara terbuka ini bukan kejam atau memalukan sebaliknya memberi kesedaran bukan sahaja kepada pesalah sebaliknya kepada masyarakat menyaksikan hukuman berkenaan.
“Selain itu, mengikut cara Islam ini, ia juga bertujuan mendidik bukan mendera kerana hukuman tersebut tidak berbahaya dengan selepas tindakan itu, pesalah sudah pun bebas.
“Apabila melihat hukuman itu, masyarakat akan boleh menilai dan turut sama memberi kesedaran agar tidak melakukan kesalahan sama. Saya rasa negeri-negeri lain bukan sahaja ditadbir Pas perlu buat kesediaan ke arah itu (hukuman sebat terbuka),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hukuman sebat secara terbuka mula dijalankan di Terengganu semalam dengan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman itu.
Lelaki itu menjadi individu pertama di Terengganu yang bakal dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku salah atas tuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Selain Terengganu, negeri-negeri lain yang ditadbir Pas atau Perikatan Nasional (PN) adalah Kelantan, Kedah dan Perlis.
Sementara itu, Hashim berkata, langkah dilakukan kerajaan Terengganu itu cukup baik yang jarang dilaksanakan di negara ini atau negeri Islam lain.
“Langkah tersebut perlu dicontohi di dalam usaha menegakkan dan menjunjung syariat Islam ini,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri Perlis masih belum mempunyai apa-apa perbincangan mengenai pelaksanaan hukuman itu.
“Perlis belum ada apa-apa lagi perbincangan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Muhammad Azmir Azizan.-UTUSAN










