PUTRAJAYA: Biarpun berpendirian neutral dan berusaha menjadi ‘kuasa ketiga’ dalam soal pertahanan, Malaysia tidak harus selesa dalam berdepan mana-mana situasi dan konflik yang berlaku di seluruh dunia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, berlaku peningkatan penentangan membabitkan kuasa-kuasa besar dunia dan situasi itu dilihat boleh menjejaskan negara.
Beliau berkata, dunia tanpa sempadan kini menyebabkan mana-mana negara pun akan terjejas sama jika ada negara sedang berperang dan berada dalam konflik.
“Mungkin kita neutral tak buat apa-apa. Namun, jika Korea Selatan dan Korea Utara berperang, maka ia tentunya akan menjejaskan rantaian bekalan.
“Sebagai contoh, kita banyak membuat tempahan dengan Korea Selatan termasuk perolehan kapal terbang. Tapi jika mereka berperang, kita mungkin tidak dapat perolehan itu ataupun lewat.
“Itu untuk pertahanan, belum termasuk untuk lain-lain komponen dan rantaian bekalan makanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan juga akan memastikan pendirian berkecuali itu kekal, namun negara lain juga harus menghormati dan tidak mendesak Malaysia untuk tidak menjadi negara yang berkawan dengan semua.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa ancaman bukan tradisional seperti perubahan iklim, bencana alam dan perkembangan teknologi juga antara cabaran yang perlu dihadapi negara.
Justeru, Malaysia perlu mengambil langkah untuk memastikan pertahanannya kalis masa hadapan dengan melipat gandakan pelaburan dalam menyediakan organisasi ketenteraan yang maju dari segi teknologi.
“Kerajaan hari ini sangat-sangat memahami bahawa dalam masa aman pun, kita perlu ada kos untuk membiayai keamanan negara. Atas sebab itu, kerajaan setiap tahun meningkatkan penuntukan bagi sektor pertahanan,” katanya.
Terdahulu, Mohammed Khaled menyempurnakan penganugerahan sijil kursus dan lencana kepada 270 orang pegawai ATM, pegawai tentera negara asing serta Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang telah tamat pengajian.
Ia melibatkan graduan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT). – UTUSAN










