BATU GAJAH: Tradisi turun temurun iaitu ‘bertandu’ atau diusung di atas tandu masih diamalkan penduduk di sini untuk kanak-kanak yang berkhatan.
Pengerusi Pertubuhan Anak Perak, Faizai Effendi @Yeop Lentin berkata, memandangkan hanya anaknya seorang sahaja yang berkhatan, dia mengadakan tradisi itu dengan mengusung anaknya menggunakan tandu sebelum dikhatankan.
Kanak-kanak berkhatan diarak menaiki tandu biasanya diadakan di kawasan Bota di Perak Tengah namun tradisi itu sudah jarang diadakan.
“Zaman dahulu memang menjadi kebiasaan kanak-kanak yang hendak dikhatankan diraikan dengan menaiki tandu dan diarak beramai-ramai oleh penduduk. Namun tradisi itu sudah jarang ditemukan dan sebab itu saya mahu menghidupkan semula tradisi ini pada majlis berkhatan anak saya.
“Saya gembira kerana ramai yang berminat menyertai majlis mengarak anak saya menaiki tandu. Ia merupakan satu tradisi unik, meraikan kanak-kanak yang hendak bersunat. Ramai generasi hari ini yang tidak berpeluang melihat tradisi seperti ini dan inilah masanya untuk mereka melihat betapa meriahnya majlis berkhatan orang dulu-dulu,” katanya.
Anaknya, Putra Muizzudin, 9, gembira diarak di sekitar kawasan perumahan menaiki tandu yang sekali gus menghilangkan rasa takut bersunat.
“Sebenarnya saya tidak tahu akan diarak menaiki tandu tetapi saya seronok melihat acara ini diadakan dalam suasana meriah. Ada pelamin untuk saya bergambar malah permainan rebana dan persembahan silat menambahkan lagi keseronokan majlis,” katanya. – UTUSAN







