Bela diri Bung Mokhtar dan Zizie Izette mula April 2025

Bela diri Bung Mokhtar dan Zizie Izette mula April 2025

SEBUTAN kes rasuah yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID / PEMBERITA - MAHKAMAH (UTUSAN / KOSMO )
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tujuh hari bagi prosiding bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, sembilan tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan peringkat bela diri itu bermula 9 hingga 11 April, 14-15 April dan 5 hingga 6 Mei 2025.

Terdahulu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadly Mohd. Zamry dan Low Chin How memohon mahkamah menetapkan tarikh bicara dengan syarat jaminan sama seperti seperti sebelum ini.

Pada prosiding terdahulu, kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan masing-masing sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa bagi kedua-dua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah. 

“Dengan mengambil kira jumlah suapan yang diterima bagi enam pertuduhan lebih 2.8 juta yg diterima oleh kedua-dua tertuduh, maka jumlah jaminan yang dikenakan ke atas setiap tertuduh adalah wajar dan munasabah.

“Memandangkan prima facie sebelum ini telah diputuskan dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan jelas menunjukkan flight risk, pihak pendakwaan memohon passport bagi kedua-dua tertuduh perlu disimpan oleh pihak mahkamah dan ia bukan satu perkara yang janggal dan tidak adil.

“Kedua-dua tertuduh boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pasport kepada pihak mahkamah sekiranya perlu ke luar negara,” kata pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette dan peguam bela Ashok Athimulan yang mewakili Bung Mokhtar membantah cadangan dari pihak pendakwaan berkenaan pasport kedua-dua tertuduh.

“Kami mengambil maklum terhadap terma dan syarat tambahan namun kami memohon pertimbangan dari pihak mahkamah supaya pasport bagi kedua-dua tertuduh tidak perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

“Anak guam saya bukan sahaja Ahli Parlimen tetapi merupakan Ahli Perundangan Sabah dan Ketua Perhubungan UMNO Sabah. Beliau perlu ada di Malaysia pada setiap masa bagi tujuan urusan kerja. Mereka juga mempunyai anak dan ahli keluarga yang berpusat di Kuala Lumpur dan Sabah,” kata peguam bela itu.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu passport bagi kedua-dua tertuduh perlu diserahkan kepada pihak mahkamah. 

Pada 18 November lalu, Bung Moktar dan Zizie Izette diperintah membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023 lalu.

Pada 7 September 2023, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN