PETALING JAYA: Kestabilan politik yang dicapai hasil kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan harus dipertahankan demi kesinambungan pembangunan negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, rakyat tidak boleh terpengaruh dengan naratif negatif yang cuba menimbulkan keresahan dan perpecahan.
“Apa yang kita ada hari ini ialah sebuah kerajaan yang stabil, diterajui seorang pemimpin berpengalaman yang berani membuat keputusan sukar demi kebaikan rakyat.
“Rakyat harus bijak menilai. Di bawah Kerajaan Madani, kebajikan rakyat terbela, peluang ekonomi diperluas dan negara berada di landasan yang betul. Ini bukan masa untuk berpolitik sempit tetapi masa untuk bersatu membina masa depan yang lebih baik, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut menyeru semua pihak supaya terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terbukti berpegang pada prinsip integriti, inklusiviti dan keberanian dalam membela nasib rakyat Malaysia.
Ramanan yang juga Naib Presiden PKR berkata, pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Madani bukan sekadar bersifat jangka pendek, tetapi dirangka dengan visi jangka panjang yang menyeluruh demi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang. – UTUSAN










