PETALING JAYA: Pengambilan pil melancarkan haid, gugur kandungan atau ubat tanpa preskripsi berpotensi mengakibatkan seseorang itu menjadi mandul dan mengalami kanser.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulfikar Ahmad berkata, berdasarkan kajian, setiap pengambilan ubat oleh pesakit mempunyai kesan sampingan yang berbeza bergantung penyakit yang dirawat.
“Pengambilan pil gugur tanpa preskripsi doktor mampu memberi kesan kepada masalah kesihatan mental selain kekejangan, rahim terkoyak, pendarahan tidak normal, masalah jantung dan mandul serta kanser.
PENGETAHUAN
“Justeru, pesakit dan penjaga disaran untuk mempunyai pengetahuan dalam pengambilan ubat untuk merawat dan mencegah penyakit yang dihadapi oleh seseorang individu.
“Mereka perlu cakna kesan sampingan setiap ubat yang diambil kerana setiap ubat bertindak dengan berbeza untuk mengawal penyakit yang dihadapi oleh pesakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan pil untuk melancarkan haid kini digunakan secara berleluasa untuk menggugurkan kandungan terutama dalam kalangan mereka yang hamil di luar perkahwinan.
Lebih membimbangkan, pil tersebut yang mudah didapati dan dijual tanpa kawalan di platform e-dagang, media sosial dan pasaran gelap digunakan oleh remaja perempuan yang terlanjur untuk menggugurkan kandungan luar nikah.
Dalam pada itu, Pegawai Kanan Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, tindakan mengambil pil gugur kandungan tanpa nilai moral yang betul juga memberi kesan kepada kecelaruan mental.
“Apa-apa sahaja tindakan yang dibuat yang didasarkan pada nilai moral yang salah akan memberi kesan kepada kesejahteraan diri seseorang individu.
“Mental seseorang individu akan terganggu jika terdapat percanggahan dari aspek akhlak dan moral kerana berpunca dari kecelaruan pemikiran dan kepercayaan terhadap agama dan sahsiah.
“Selain itu, rasa bersalah, berdosa, takut dan khuatir akan hadir dalam diri individu tersebut. Pada masa sama, kesan lebih teruk apabila individu itu terperangkap dengan rasa berdosa sehingga mendatangkan tekanan mental (depression) dan kegelisahan (anxiety),” katanya. – UTUSAN







