PASIR SALAK: Penduduk di sini terutama yang tinggal berdekatan Kompleks Sejarah Pasir Salak bimbang banjir melanda kawasan mereka berikutan paras air Sungai Perak semakin naik.
Lebih membimbangkan apabila ramalan luruan ketiga monsun yang dijangkakan berlaku bermula esok hingga 14 Disember
Lebih membimbangkan apabila ramalan luruan ketiga monsun yang dijangkakan berlaku bermula esok hingga 14 Disember.
Penduduk yang ditemui berkata, akibat paras air Sungai Perak yang semakin naik sejak beberapa hari lalu, ada rumah penduduk terutama di Kampung Bandar Lama dan Kampung Air Mati di sini yang sudah dinaiki air.
Seorang penduduk, Mazaki Alias Baharudin, 63, berkata, sejak paras air Sungai Perak naik beberapa hari ini, mereka sentiasa berjaga-jaga sehinggakan setiap dua jam sekali mereka meninjau keadaan paras air sungai.
Katanya, penduduk meninjau paras air sungai dari tebing Kompleks Sejarah Pasir Salak bagi memudahkan mereka melihat sebarang perubahan yang berlaku pada paras air sungai sama ada naik atau sebaliknya.
Katanya, banjir besar yang melanda kampung itu dan Kompleks Sejarah Pasir Salak masih diingati sebagai antara banjir terbesar dan berharap kejadian sama tidak berulang.
“Sekarang penduduk sentiasa berja-jaga kemungkinan berlaku banjir apatah lagi paras air Sungai Perak semakin naik. Kenaikannya dapat dilihat dengan ketara sejak beberapa hari lalu menerusi tinjauan dari tebing Kompleks Sejarah Pasir Salak.
“Setakat ini parasnya semakin naik dan agak membimbangkan jika hujan lebat berterusan. Di sini banyak rumah yang terletak di kawasan rendah dan jika air sungai masuk melimpah dari tebing, kawasan ini sudah tentu akan banjir.
“Ramalan luruan ketiga monsun yang dijangka berlaku dalam masa terdekat membimbangkan kami yang tinggi di tepi sungai.
“Walaupun sekarang paras air tidak melepasi tebing, tetapi memandangkan hujan setiap hari, kemungkinan banjir boleh berlaku,” katanya.
Seorang lagi penduduk Hasbullah Tajudin berkata, dia sentiasa memantau keadaan paras air Sungai Perak sejak musim tengkujuh melanda negara.
Katanya, berdasarkan pengalaman banjir besar yang melanda kawasan di sini pada tahun 2014, penduduk sudah bersiap sedia jika berlaku banjir.
“Banjir pada tahun 2014 masih segar dalam ingatan penduduk Pasir Salak. Kawasan kompleks ini sudah seperti lautan,” katanya.
.










