Air banjir sejernih kristal jadi tarikan

Air banjir sejernih kristal jadi tarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kejernihan air banjir di Ladang Pinang Emas, Bukit Besi, dekat sini, yang diibaratkan seperti kristal menarik perhatian ramai.

Malah, warna air banjir hijau kebiruan dan dasarnya yang jernih mengujakan orang ramai dan ada yang menggelarkannya sebagai ‘Kepulauan Maldives’.

Tinjauan di kawasan ladang itu mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mandi dan melihat air tersebut di samping merakam gambar kenangan selepas banjir mulai surut.

Seorang penduduk, Amir Nordin, 44, berkata, kejernihan air di kawasan itu setiap kali banjir melanda sebenarnya bukan perkara baharu.

“Dari dahulu lagi setiap kali banjir, air di kawasan ladang ini jernih iaitu berwarna hijau seakan-akan kebiruan hingga kita boleh lihat dasarnya dengan jelas.

“Mungkin air banjir ini disebabkan limpahan air dari kawasan perlombongan di Bukit Besi yang tidak jauh dari kampung ini,” katanya semalam.

Amir berkata, bagaimanapun ketika permulaan banjir, air tersebut juga agak keruh namun mula berubah warna menjadi jernih selepas sehari atau dua hari ketika banjir berlaku.

“Apa yang uniknya, kawasan ini dilimpahi air dari dua sumber berlainan iaitu kawasan lombong dan limpahan air dari Sungai Dungun,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Najmiah Ami Fauziha, 40, berkata, dia yang berasal dari Selangor dan berpindah ke kampung itu empat tahun lalu teruja melihat kejernihan air banjir di kawasan itu.

“Selepas air surut hingga paras betis, penduduk di sini lazimnya bermain air beramai-ramai, seakan-akan pesta wajib. Selain penduduk, ramai juga pengunjung yang datang semata-mata untuk bermain air dan bergambar di sini,” katanya.

Bagi seorang pengunjung, Ahmad Daniel Azmi, 28, dia yang tinggal di Marang, Terengganu mengambil peluang mengunjungi kawasan itu untuk melihat sendiri air banjir di situ selepas keindahan air itu tular dalam laman sosial Facebook dan TikTok.

“Saya agak terkejut dan teruja sebab tak pernah tengok air banjir yang jernih. Kalau air jenih begini, penduduk tidak perlu bersusah payah basuh rumah sebab rumah mereka tidak berlumpur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN