PETALING JAYA: Seramai 645 orang Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menamatkan latihan Kursus Asas Tentera Laut (KATL) dalam Perbarisan Tamat Latihan.
Latihan melibatkan 10 divisyen daripada Siri 227/24 selama enam bulan yang bermula pada 29 Jun lalu itu dijalankan di Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM, Kapal DiRaja Sultan Ismail, di sini hari ini.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun berkata, perbarisan itu merupakan acara kemuncak sebagai tanda berakhir kursus asas tentera laut.
Katanya, ia adalah latihan yang perlu dijalani setiap anggota lain-lain pangkat yang berkhidmat dengan TLDM.
“Saya percaya, inilah saat yang diimpikan sejak mengangkat sumpah sebagai anggota TLDM sejak enam bulan yang lalu.
“Detik bersejarah yang dilakarkan pada hari ini membuktikan bahawa anda semua telah layak untuk berkhidmat sebagai seorang anggota tentera laut seperti yang tertera di dalam nilai murni TLDM,” katanya ketika berucap merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM Siri 227/24 di di Padang Kawad Kapal Diraja Sultan Ismail.
Dengan anggota yang digelar the Navy People, TLDM mengutamakan empat nilai teras iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan.
Ia bagi melahirkan tentera laut yang terampil dan berdisiplin bagi mencapai visi TLDM iaitu menjadi sebuah ‘Angkatan Laut yang Kredibel’.
Dalam pada itu, tambah Mohamad Azuwan, pelbagai latihan telah diterapkan dalam mengubah sifat dan minda para pelatih.
“Saya percaya, segala latihan yang telah diterapkan kepada anda semua sebelum ini telah berjaya mentransformasikan sifat serta minda anda daripada seorang individu awam kepada seorang anggota tentera yang berkaliber.
“Kuatkan tekad dan sempurnakan sumpah janji walaupun nyawa sebagai galang-ganti,” katanya. – UTUSAN