PETALING JAYA: Kerajaan dicadangkan melantik ombudsman bagi mengkaji 3,000 undang-undang lapuk, sebelum dipinda atau digantikan dengan akta lain.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer berkata, dengan pelantikan tersebut, pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem perundangan seperti Majlis Peguam, universiti dan Jabatan Peguam Negara dapat diperoleh untuk dibentangkan di Parlimen.
Katanya, ia boleh dilakukan dalam satu tempoh antara setahun atau dua tahun bagi pelaksanaan kajian berkenaan.
“Ombudsman harus diberi kuasa memilih jawatankuasa mereka sendiri bagi memastikan individu yang hanya mengisi kerusi tanpa memberi sumbangan dikeluarkan demi kepentingan awam.
“Bagaimanapun apa yang penting, syarat ombudsman dilantik mesti mempunyai pengetahuan mendalam mengenai proses undang-undang serta rekod yang terbukti, bukan hanya memegang jawatan tanpa ada tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.
Sementara itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, sebarang kajian dan pemansuhan akta disifatkan lapuk bukan tugas yang mudah dan memerlukan penelitian teliti.
“Kata ada 3,000 undang-undang lapuk, sekarang sudah berapa tahun kewujudan Malaysia? Bila memperkatakan sesuatu undang-undang, lapuk atau tidak berguna, buat kajian,” katanya. – UTUSAN










