PUTRAJAYA: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) meraih pencapaian cemerlang di peringkat global apabila mengungguli tempat ketiga bagi kategori Inovasi Sosial Terbaik dalam Anugerah Inovasi Global Innovation Management Institute (GIMI) 2024.
Kejayaan ini mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa yang mana YIM bersaing dengan inovator global lain berimpak besar seperti Atsiri Research Center (ARC) dari Indonesia dan Hotel Ilunion dari Mexico.
ARC merangkul juara melalui produk berasaskan minyak atsiri yang menyokong komuniti tempatan, manakala Hotel Ilunion menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan terpinggir.
Menurut kenyataan YIM, pengiktirafan ini adalah bukti komitmen YIM dalam memperjuangkan inovasi sosial yang memberi manfaat kepada komuniti di peringkat akar umbi, sejajar matlamat mewujudkan kesejahteraan sosial dan pembangunan lestari di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh menerima anugerah itu daripada Pengarah Urusan Clarus Consulting Sdn. Bhd./GIMI Partner in Malaysia, Dr. Cynthia Ee pada majlis di Auditorium La Salle Ramon Llull University, Barcelona.
Anugerah Inovasi GIMI diwujudkan bagi mengiktiraf organisasi atau individu dalam sektor awam, swasta dan sosial yang memacu inovasi merentasi industri, komuniti dan rantau .
Ia mempertandingkan 12 kategori meliputi pencapaian tujuh organisasi dan lima individu bukan sahaja mengiktiraf produk inovasi yang paling memberi impak, malah meraikan pencipta yang memberi sumbangan dalam bidang masing-masing.
Matlamat menyeluruh inisiatif YIM adalah mewujudkan masyarakat yang mampan dan inklusif secara saintifik dengan mempromosi dan mengembangkan kreativiti kemahiran dalam sains dan teknologi merentas akademik, industri dan masyarakat. –UTUSAN











