KANGAR: Perlis tidak mempunyai isu atau kes warga Thailand merentasi sempadan secara haram untuk bersekolah di sini.
Sebaliknya, di Perlis, hanya terdapat lima pelajar dan murid berasal dari Malaysia tinggal di negara jiran merentasi sempadan Malaysia-Thailand melalui laluan sah setiap hari untuk bersekolah khususnya di sekitar Padang Besar.
Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, pelajar dan murid terbabit masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Besar (Utara) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Padang Besar (Utara).
Katanya, berdasarkan data diperoleh, kesemua lima pelajar dan murid ini adalah warga Malaysia yang tinggal di pekan Padang Besar di sebelah Thailand.
Ujarnya, di Perlis, tidak ada laluan sungai, sebaliknya sempadan Malaysia-Thailand dipisahkan laluan darat menerusi hutan dan bukit bukau.
“Jadi, kebanyakan ibu bapa pelajar dan murid ini akan menggunakan laluan sah untuk menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, hampir 400 pelajar yang tinggal di Thailand dan berulang-alik dengan perahu menyeberangi Sungai Golok, Kelantan memilih bersekolah di sini kerana mereka adalah warganegara Malaysia.
Difahamkan kira-kira 150 daripada mereka belajar di SMK dan Sekolah Kebangsaan (SK) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selebihnya, mengikuti pengajian di Sekolah Menengah Ugama seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Difahamkan, perkahwinan antara penduduk Malaysia dan Thailand menjadi faktor ibu bapa mereka menetap di negara gajah putih itu.
Tambah Rose Aza, pelajar yang tinggal di Padang Besar, Thailand mempunyai ibu dan bapa yang berkemungkinan salah seorangnya adalah warga negara itu atau mempunyai perniagaan di sana.
Katanya, disebabkan itu, berkemungkinan mereka tinggal di Thailand tetapi bersekolah di Malaysia.
“Pelajar dan murid ini akan berulang-alik menggunakan laluan sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin Padang Besar di sempadan Malaysia-Thailand untuk masuk negara ini seawal pukul 6 pagi.
“Mereka terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki di SMK Padang Besar (Utara), manakala dua lagi adalah pasangan adik-beradik tahun satu dan enam di SJKC Padang Besar (Utara),” katanya. – UTUSAN










