PETALING JAYA: Garis panduan berkaitan isu agama, bangsa serta institusi diraja (3R) tidak perlu diperkenalkan kerana setiap golongan sarjana mahupun tokoh akademik tahu batas penggunaannya.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, setiap pihak tidak patut menyekat pandangan ahli sarjana atau tokoh akademik dan garis panduan mengenai 3R tidak perlu dikeluarkan.
Katanya, sebagai seorang ahli sarjana, mereka tahu kedudukan mereka apabila bercakap atau menyentuh isu berkaitan 3R.
“Setiap golongan sarjana atau tokoh akademik akan berbicara mengenai bidang kepakaran atau berkaitan dengan kajian mereka sahaja.
“Walaupun ada beberapa isu yang saya tidak setuju, saya akan menyatakan pendirian saya dengan menggunakan bahasa berlapik dan tidak perlulah untuk saya menyemai kebencian ketika berbicara mengenai isu 3R,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu akhbar ini melaporkan kerajaan tidak akan menyekat golongan sarjana atau tokoh akademik membicarakan sebarang isu termasuk 3R selagi ia tidak menyemai kebencian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang ditekankannya kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mahukan golongan sarjana di negara ini tidak menjadi ‘pak turut’ semata-mata.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr Mazlan Ali berkata, ahli sarjana atau tokoh akademik yang bercakap mengenai isu 3R ini adalah untuk menyelesaikan satu masalah dan perbincangan ini juga bersifat satu disiplin ilmu.
Katanya tujuan ahli sarjana adalah mewujudkan satu budaya ilmu sebagai langkah untuk mengembangkan ilmu di universiti-universiti tempatan.
“Isu 3R dibahaskan di dalam dewan kuliah dan ianya tertakluk kepada fakta disiplin ilmu yang tujuannya bukan untuk menyemai kebencian, sebaliknya menambah ilmu.
“Jikalau kami menggunakan isu 3R untuk perkara yang tidak baik, kami akan dikenakan tindakan undang-undang yang sudah sedia ada,” katanya. – UTUSAN










