Tiada cadangan semak semula pemilihan U Mobile

Tiada cadangan semak semula pemilihan U Mobile

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang untuk menyemak semula keputusan memilih syarikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai pengendali rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, langkah semak semula itu dianggap tidak perlu kerana pemilihan dibuat secara bebas oleh pasukan teknikal dan tidak melibatkan campur tangan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, keputusan memilih U Mobile itu dibuat secara sebulat suara oleh ahli-ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Pihak pentadbiran (kerajaan) tidak terlibat dan tidak masuk campur malah, saya perlu ingatkan bahawa ini (pemilihan U Mobile) bukan kontrak,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Fahmi berkata, selain itu, tidak ada dana awam yang terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G Kedua Negara dan dari segi aspek pengurusan, tata kelola dan tadbir urus pula, ia berjalan dengan tertib tanpa ada campur tangan.

Katanya, U Mobile turut dikenakan syarat-syarat ter­tentu oleh SKMM bagi memastikan rancangan membangunkan rangkaian 5G kedua itu berjalan lancar.

Menurutnya, syarat-syarat itu akan ditetapkan selepas pihak SKMM dengan mengambil kira pengalaman pengendali rangkaian pertama 5G iaitu Digital Nasional Berhad (DNB).

“Saya rasa agak pramatang untuk saya maklumkan apa-apa syarat yang akan dikenakan. Kalau kita lihat pengalaman sebelum ini (penggabungan antara Celcom dan Digi), penggabungan itu datang dengan sejumlah syarat yang dikenakan SKMM.

“Dalam pelaksanaan rangkaian 5G pertama di bawah DNB juga ada dikenakan syarat-syarat tertentu dan bagi rangkaian kedua sudah pasti akan ada syarat-syarat tertentu yang akan dikenakan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum syarat-syarat itu ditetapkan, SKMM akan memanggil pihak U Mobile untuk memahamkan apakah perbincangan terkini di antara syarikat itu dengan mana-mana syarikat yang ingin bekerjasama dengan mereka.

Katanya, syarat-syarat yang dikenakan itu kelak adalah bagi memastikan tidak berlaku satu keadaan yang tidak seimbang dalam ekosistem telekomunikasi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN