Terlebih makan makanan viral, ramen tingkat kanser usus

Terlebih makan makanan viral, ramen tingkat kanser usus

CIRIT-BIRIT secara tiba-tiba lebih dua hingga tiga kali sehari, pendarahan dalam najis, sakit perut dan perut berasa tidak selesa adalah antara simptom kanser kolorektal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gemar me­ngambil makanan proses terutama mi segera seperti ramen pelbagai perisa dan makanan manis, umpamanya kek tapak kuda antara punca yang me­nyumbang kepada peningkatan kanser usus di negara ini.

Makanan ramen pelbagai pe­risa yang boleh dimasak dengan mudah dan dijual di merata-rata tempat merupakan makanan proses serta mengandungi bahan pengawet tinggi yang me­risikokan kesihatan.

Begitu juga kek tapak kuda yang banyak di promosi dalam media sosial juga antara pe­nyumbang kepada risiko berlaku kanser kerana kandungan gula yang tinggi.

Statistik Institut Kanser Negara (IKN) menemukan kanser kolorektal atau kanser usus besar adalah kanser paling kerap ditemukan dalam kalangan lelaki dan kanser kedua banyak dihidapi wanita selepas kanser payudara.

Dalam tempoh lima tahun, kanser kolorektal mencatatkan peningkatan ketara daripada 14.8 peratus pada 2012 hingga 2016 kepada 18.8 peratus pada tahun 2017 hingga 2021 bagi lelaki.

Bagi wanita, kanser usus me­ningkat enam peratus de­ngan 11.1 peratus pada tahun 2012 hingga 2016 kepada 13.7 peratus pada tahun 2017 hingga 2021.

Berdasarkan statistik itu, kanser kolorektal adalah kan­ser yang paling biasa dan kerap berlaku dalam kalangan lelaki antara usia 45 tahun hingga 74 tahun.

Bagi wanita, kanser kolorektal adalah kanser kedua paling biasa bagi yang berusia antara usia 30 tahun hingga 75 tahun.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sha­rifa Ezat Wan Puteh berkata, kualiti makanan yang rendah serat, makanan tinggi bahan pengawet, pewarna, pemanis tambahan dan penstabilan makanan juga meningkatkan risiko kanser usus.

“Berdasarkan kajian, lelaki yang gemar makan makanan tinggi proses adalah 29 peratus berisiko mendapat kanser usus berbanding lelaki yang tidak mengambil bahan-bahan pro­ses,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, data daripada Re­gistri Kanser Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) pula mendapati, jumlah pesakit mendapatkan rawatan apabila kanser sudah berada pada tahap tiga dan empat juga semakin meningkat.

“Ia menunjukkan tahap ke­sedaran masyarakat masih rendah untuk menjalani ujian sa­ringan walaupun tiada sebarang simptom.

“Kanser kolorektal boleh dikesan awal menerusi ujian kolonoskopi dan jika ketumbuhan belum menjadi kanser dikesan awal, ia sudah pasti dapat dirawat.

“Ini kerana ketumbuhan mengambil masa bertahun un­tuk menjadi kanser dan pencegahan awal lebih baik,” katanya.

Dr. Zainal Ariffin Omar

Mengulas berkenaan simp­tom kanser usus besar, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, antara tanda-tanda awal kanser kolorektal adalah perubahan tabiat membuang air besar secara tiba-tiba iaitu daripada setiap hari menjadi dua hari atau lebih sembelit tanpa sebab.

Simptom lain katanya, cirit-birit secara tiba-tiba lebih dua hingga tiga kali sehari, pendarahan dalam najis, sakit perut dan perut berasa tidak selesa.

“Tanda lain yang agak lewat ialah seperti kurang selera makan hingga berat badan menurun serta keletihan akibat kurang darah merah,” katanya.

“Sekiranya wujud tanda-tanda ini, segeralah berjumpa dengan mana mana doktor di klinik kesihatan terdekat untuk mendapatkan pengesahan,” jelasnya.

Katanya, sikap malas dan tidak cakna dengan perubahan dalam badan sesetengah masyarakat menjadikan kanser itu lambat dikesan dan menurunkan harapan untuk sembuh.

Beliau berkata, langkah terbaik dalam mencegah kanser usus adalah mengamalkan gaya hidup yang sihat dan banyak melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam.

Selain itu katanya, masyarakat juga digalakkan untuk mengambil banyak makanan berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayuran serta mengurangkan pengambilan daging serta makanan proses.

“Saringan awal juga penting terutama kepada yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser berusia 45 tahun hingga 50 tahun ke atas,” jelanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN