PETALING JAYA: Pembinaan tembok sempadan yang dijangka menelan kos RM865.6 juta perlu dilaksanakan secara bersama dengan Thailand.
Pensyarah Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof . Madya Dr. Mohamed Faisol keling berkata, perkongsian tersebut penting bagi menjimatkan kos dengan anggaran penjimatan sebanyak 10 sehingga 30 peratus.
Katanya, langkah tersebut wajar dengan mengambil kira ancaman, risiko dan keselamatan yang memberi kesan serta melibatkan kedua-dua negara.
“Bermula daripada proses awal menentukan titik garis sempadan yang bermula semenjak 1960, 1970-an dan 1980-an sehinggalah aspek pengurusan, ia akan membabitkan persetujuan dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak” kataya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pagar di laluan sempadan Perlis-Thailand itu dilaporkan sudah tidak sesuai lagi bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
Hal ini kerana ia terlalu mudah dibolosi terutama apabila keadaan pagar terlalu teruk, berlubang dan uzur.
Tambah Mohamed Faisol lagi, sama ada suka atau tidak, pembinaan tembok tersebut perlu disegerakan dan menjadi keperluan mendesak pada masa sekarang.
Di samping itu katanya lagi, kaedah terbaik dengan peruntukan yang kecil bagi negara seperti Malaysia ialah dengan mewujudkan zon keselamatan kira-kira 30 meter dari pagar sempadan.
“Zon tersebut perlu kosong dan cerah untuk membolehkan pihak berkuasa memantau serta bertindak pantas ke kawasan tersebut. Kaedah ini juga sesuai digunakan di sempadan Malaysia di Kalimantan.
“Dengan mewujudkan kawasan sedemikan beserta menara peninjau, ia pastinya menggerunkan penjenayah dan memudahkan tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu Pensyarah Sains Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad berkata, kerajaan perlu meneruskan keputusan untuk menggunakan teknologi dan inovasi bagi mengawal sempadan.
“Kita perlu lihat kepada penggunaan teknologi tinggi yang diperkemaskan seperti kecerdasan buatan (AI) dan biometrik termasuklah pengimbasan imej,” katanya. – UTUSAN







