Siswazah Unimap laris dalam industri kejuruteraan dan teknologi

Siswazah Unimap laris dalam industri kejuruteraan dan teknologi

ZALIMAN Sauli (tengah) beramah mesra dengan para penerima pingat bersempena Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-19 di kampus Alam, Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Lepasan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) terus laris dalam pasaran kerja dengan hampir 70 peratus mendapat kerja khususnya dalam industri kejuruteraan dan teknologi meskipun belum bergraduasi.

Perkembangan tersebut me­nyaksikan Unimap boleh di­sifatkan sebagai ‘kolam bakat’ yang memberi sumbangan besar dalam industri berkenaan.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli ber­kata, sehingga kini, seramai 3,139 graduan bersamaan 95.2 peratus, sudah mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kebolehpasaran graduan Unimap lazimnya diukur bermula pada tarikh konvokesyen sehingga enam bulan selepas penuntut universiti itu bergraduasi.

“Bagaimanapun daripada jumlah tersebut mengikut data SKPG ini, menunjukkan hampir 70 peratus daripada penuntut Unimap sudah mendapat pekerjaan sebelum majlis konvokensyen sama ada bekerja sendiri atau kerja di syarikat multinasional atau menyambung pe­ngajian masing-masing.

“Ini membuktikan bahawa Unimap kini menjadi ‘kolam bakat’ yang besar kepada industri kejuruteraan dan teknologi di negara ini,” katanya bersempena Istiadat Konvokesyen Unimap ke-19 di sini, semalam.

Seramai 3,298 graduan universiti berkenaan bakal diraikan pada majlis konvokesyen Unimap ke-19 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam sehingga 12 November.

Majlis melibatkan lapan sidang itu akan dirasmi dan dihadiri oleh Raja Muda Perlis merangkap Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor universiti berkenaan.

Tambah Zaliman, kebanyakan lepasan Unimap kini berkhidmat di pelbagai sektor perindustrian di Pulau Pinang, Kulim selain syarikat di luar negara seperti Singapura, Taiwan, China, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dianggarkan 99 peratus siswazah Unimap mampu mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas majlis konvokesyen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini