KUBANG PASU: Parti Amanah Negara (Amanah) menaruh keyakinan sebarang isu berhubung pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diselesaikan secara tenang dan rasional.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, di sebalik pelbagai spekulasi berhubung ketegangan antara gabungan itu, Amanah tetap berharap untuk mengadakan rundingan demi kesejahteraan negeri itu.
“Saya tidak akan mengulas lebih lanjut, namun saya yakin dengan semangat kerjasama, pastinya boleh dirunding. Tiada perkara yang tidak boleh dirunding. Jadi saya harap dalam semangat untuk memajukan negeri dan negara, kepemimpinan BN dan PH akan bertenang dan rasional.
“Insya-Allah kita akan dapat melakukan penyusunan dan perkongsian dengan lebih baik, saya menaruh keyakinan dapat menyelesaikan (agihan kerusi),” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Amanah, di sini semalam.
Beliau mengulas tentang dakwaan penganalisis politik bahawa berlaku sedikit ketegangan berhubung pengagihan kerusi di Johor bagi menghadapi PRN akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membuat kenyataan bahawa pihaknya belum bersedia untuk mengumumkan sama ada kerjasama parti itu dengan PH dalam PRN berkenaan.
Kerajaan negeri BN ditubuhkan di Johor selepas gabungan itu memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN 2022.
Kata Dr. Dzulkefly, pihaknya turut yakin kekuatan gabungan tersebut di peringkat pusat mampu diterjemahkan kepada penyatuan di peringkat negeri.
Menyentuh konvensyen tersebut ujarnya, kepimpinan Amanah juga berkeyakinan BN dan PH Kedah mampu menggembleng tenaga untuk menawan semula negeri ini.
“Kita yakin kerajaan sekretariat Kedah akan datang menggembleng tenaga dan mendapatkan kekuatan untuk memberi khidmat kepada rakyat dahulu sebelum PRU16. Saya yakin semua akan buat persiapan yang sangat baik,” katanya. – UTUSAN











