PKR ketandusan pemimpin pelapis?

PKR ketandusan pemimpin pelapis?

Pemerhati politik melihat PKR ketandusan pe­mimpin pelapis bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemerhati politik melihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketandusan pe­mimpin pelapis bagi menggantikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memang ada nama dan calon yang boleh mengisi kekosongan jika Anwar bersara, tetapi kualiti meraka terlalu jauh kerana Perdana Menteri meletakkan penanda aras amat tinggi yang sukar dicapai penggantinya.

Berdasarkan rekod khidmat Anwar, kejayaan tertinggi diperolehnya bukanlah bagaimana beliau bangkit dari bawah untuk menjawat jawatan tertinggi iaitu Perdana Menteri.

Sebaliknya, kejayaan terbesar Anwar adalah apabila mampu menubuhkan Kerajaan Perpa­duan dengan parti seterunya sejak 25 tahun lalu iaitu UMNO yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bukan itu sahaja, Anwar juga berjaya memulihkan hubungan antara DAP dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga memperoleh majoriti kukuh di Dewan Rakyat semalam sekali gus menstabilkan keadaan politik negara yang bergolak sejak 2018.

Kenyataan ini disokong Pe­nga­nalisis Politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali yang berpendapat bahawa beliau tidak nampak kelibat mana-mana pemimpin PKR masa kini yang setan­ding dengan Anwar dari segi karis­manya, kepemimpinannya bahkan sokongan diperolehnya.

Bahkan menurutnya, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli juga sukar untuk menyamai pres­tasi Anwar.

Oleh demikian, beliau menjangkakan sekiranya Anwar ti­dak dapat meneruskan tanggungjawabnya sebagai Presiden PKR, bekas Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah individu paling layak untuk menjawat jawatan tersebut sementara parti berkenaan me­lahirkan pemimpin pengganti.

“Anwar meletakkan penanda aras terlalu tinggi khususnya sejak dua tahun kebelakangan ini sehinggakan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan dengan kerjasama seterunya iaitu UMNO.

“Malah Pakatan Harapan (PH) sendiri masih memerlukan Anwar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anwar yang juga Perdana Menteri Ke-10 tuurt memposisikan dirinya dalam kalangan pemimpin dunia de­ngan menyuarakan isu geopolitik antarabangsa terma­suk penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Kelantangan beliau menyuarakan suara majoriti rakyat Malaysia mengagumkan banyak pihak sehinggakan beliau tersenarai di tangga ke-15 dalam 500 pemimpin Muslim paling berpengaruh di dunia ketika ini.

Ia diterbitkan oleh sebuah pusat kajian bebas, Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) yang bernaung bersama Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt berpangkalan di Amman, Jordan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN