Pengasuh pelaku jenayah tertinggi kes dera di Selangor

Pengasuh pelaku jenayah tertinggi kes dera di Selangor

HUSSEIN Omar Khan merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengasuh dan penjaga menjadi pelaku jenayah tertinggi kes penderaan kanak-kanak di Selangor dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, statistik terbaharu pihaknya merekodkan 387 kes terdiri daripada 139 kanak-kanak berusia 0 hingga satu tahun, dua hingga lima tahun (96) dan bakinya berusia sehingga 18 tahun.

“Daripada jumlah itu, seramai 89 suspek melibatkan pengasuh atau penjaga selain golongan ibu bapa, guru, jiran dan murid.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemerhatian mendapati punca kanak-kanak menjadi mangsa penderaan kerana ke­cuaian dan pengabaian oleh pengasuh sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, semalam.

Jelasnya, faktor sikap ibu bapa sama ada kandung atau tiri turut menjadi punca berlakunya kes penderaan itu dan statistik polis mendapati kes penderaan kanak-kanak di negeri merekodkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Namun, kenaikan itu didapati tidak begitu ketara dan tidak terlalu tinggi. Ia antaranya kerana faktor kepadatan jumlah penduduk yang ramai di Sela­ngor berbanding negeri lain.

“Justeru, golongan itu perlu mempunyai kesedaran tinggi bagi mengelak berlakunya pengabaian penjagaan anak-anak mereka. Mereka seharus­nya mengetahui faktor yang berisiko kepada kanak-kanak sekiranya didedahkan dalam keadaan bahaya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hussein berkata, CIC kedua yang berope­rasi sejak Mac lalu bertujuan menemu bual kanak-kanak yang terlibat dalam kes seperti penderaan, pengabaian dan seksual.

“Penambahan pusat terbaharu itu juga mengambil kira peningkatan jumlah kes dengan seramai 875 kanak-kanak sudah ditemu bual tahun ini.

“CIC ini juga menyediakan keadaan lebih kondusif kepada mereka dan ia menempatkan ruang menunggu kepada ibu bapa selain bilik khas temuduga serta rakaman bagi proses siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini