Penduduk sifatkan pemergian Yakob satu kehilangan besar

Penduduk sifatkan pemergian Yakob satu kehilangan besar

BEBERAPA penduduk setempat menunjukkan lokasi Allahyarham Yakob menghembuskan nafas terakhirnya ketika mengimamkan solat Subuh di Surau Permatang Pak Elong, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Pemergian Yakob Ramli, 56, yang meninggal dunia tatkala mengimamkan solat Subuh di Surau Permatang Pak Elong, Penaga di sini, semalam amat mengejutkan penduduk setempat.

Apatah lagi, peranan penting Allahyarham yang sentiasa dijadikan tempat rujukan terutama dalam penganjuran program keagamaan dan guru al-Quran selain memiliki keperibadian yang baik membuatkan warga kariah terasa amat kehilangan.

Salah seorang penduduk, M. Bakri Osman, 61, berkata, bacaan ayat suci yang dialunkan Allahyarham ketika mengimamkan solat amat merdu memandangkan dia seorang qari.

“Semasa hayatnya, Allahyarham amat menitikberatkan soal agama, malah, dia juga aktif dalam program marhaban.

“Ibu bapanya dahulu juga merupakan guru mengaji al-Quran. Dia turut mengajar (agama) malah arwah sentiasa dijadikan rujukan penduduk sekiranya terdapat sebarang kemusykilan sama ada dari segi pengajian Al-Quran mahupun program-program keagamaan yang ingin dianjurkan di sini.

“Arwah orang yang baik dan setiap kali kami berjumpa, saya minta dia doakan saya, malah setiap kali selesai imamkan solat, dia akan peluk semua makmum,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Allahyarham Yakob yang menjadi imam di surau kampung berkenaan sejak 15 tahun lalu dikatakan tidak bergerak ketika melakukan sujud sajadah yang dilaksanakan di surau berkenaan setiap Jumaat.

Bakri berkata, ketika kejadian, dia dan jemaah lain terdengar bunyi nafas yang kuat dari mikrofon yang dipakai oleh arwah.

“Degupan jantungnya ketika itu semakin kuat, lalu kami membaringkannya dan meminta arwah mengucap.

“Kami membantu memberikan bantuan pernafasan sementara menantikan pasukan perubatan tiba namun nadinya telah berhenti,” katanya.

Sementara itu, anak Allahyarham, Mohamad Shahril Yakob, 33, berkata, arwah bapanya memang ada masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan kencing manis.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya, apatah lagi apabila melihat ramai yang datang termasuklah satu rombongan bas anak-anak tahfiz yang turut sama mendoakan kesejahteraan abah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN