Pemilihan PKR tahun depan tonjol kepemimpinan baharu

Pemilihan PKR tahun depan tonjol kepemimpinan baharu

PEMILIHAN PKR tahun hadapan penting dalam membentuk barisan kepemimpinan pelapis yang bakal mewarisi perjuangan parti itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilihan PKR yang dijangka dilakukan tahun depan tidak menolak kemungkinan membariskan wajah ke­pemimpinan baharu kerajaan dan parti itu.

Penganalisis politik dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hasan berkata, ia khususnya apabila pemilihan PKR tahun depan merupakan penggal terakhir bagi Datuk Seri

Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR sekali gus perlu melihat dari segi pelapis kepimpinan parti.

Menurut beliau, pemilihan PKR penting bukan sahaja baya­ngan pengganti Presiden PKR, tetapi juga bayangan Perdana Menteri jika jawatan itu datang daripada PKR.

“Oleh sebab itu, beberapa minggu lepas, Anwar mahu pemilihan PKR diteruskan dan tidak mahu menunggu sehingga penggal terakhir tetapi secepat mungkin untuk menentukan struktur hirarki parti agar kukuh dalam mendepani PRU16 tidak lama lagi.

“Kalau lihat struktur parti, kebiasaannya Timbalan Presiden menjadi penggantinya dan kini disandangkan oleh Rafizi Ramli, mungkin beliau akan mempertahankan jawatannya. Mungkin boleh jadi dicabar oleh satu atau dua pemimpin dalam PKR,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh ber­kata, pemilihan PKR yang dijangka berlangsung tahun depan adalah penggal terakhir Anwar memegang jawatan Pre­siden parti itu.

Hal ini setelah Perlembagaan parti hanya membenarkan setiap Presiden PKR memegang jawatan selama tiga penggal.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau tidak lagi memegang jawatan Presiden PKR.

Bagaimanapun, Dr. Azmi ber­kata, beliau senada dengan Fuziah meskipun Anwar tidak lagi memegang Presiden PKR, namun tidak perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Namun begitu kata beliau, pemilihan parti amat penting demi survival parti itu kerana perlu melihat barisan kepimpinan yang bakal menerajui negara pada satu hari nanti.

Tambahnya, pengganti Anwar sama ada sebagai Presiden PKR dan Perdana Menteri masih samar-samar walaupun parti itu mempunyai banyak pelapis ke­pemimpinan.

“Presiden PKR menjadi baya­ngan Perdana Menteri sekiranya kerajaan Perpaduan terus kekal PRU16.

“Pada ketika ini, pengganti Anwar sama ada Presiden PKR atau Perdana Menteri masih samar-samar dan belum ditentukan walaupun Rafizi ketika ini merupakan Timbalan Presiden. Namun Rafizi mungkin dicabar dalam pemilihan akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN