PAC siasat Khazanah, PNB, Nafas

PAC siasat Khazanah, PNB, Nafas

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding terhadap Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) berhubung kerugian pelaburan dalam Fas­hionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) berjumlah RM43.9 juta.

Selain itu, PAC juga akan memanggil semula Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi menjelaskan isu kartel baja yang sedang melanda pertubuhan berkenaan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media di Parlimen semalam berkata, kedua-dua prosiding itu akan bermula pada minggu kedua bulan Disember.

TUMPUAN

FashionValet menjadi tum­pu­an selepas Khazanah dan PNB yang melabur sebanyak RM47 juta dalam syarikat itu hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan semula pegangan dalam syarikat berkenaan.

Persoalan timbul apabila maklumat kewangan FashionValet yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat itu mengalami kerugian lima tahun berturut-turut sebelum dua syarikat berkaitan kerajaan itu membuat pelaburan.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang itu, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Mengenai Nafas, Mas Ermie­ya­ti berkata, pihaknya bimbang kemelut yang melanda pertubuhan tersebut akan membawa kepa­da masalah lebih besar iaitu kekurangan baja kepada pesawah.

Jelasnya, PAC sedang menjalankan prosiding berhubung Pengurusan Program Penanaman Padi dan setakat ini seba­nyak empat prosiding telah diadakan dengan seramai 12 saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan penjelasan.

SAKSI

“Nafas adalah sebahagian daripada saksi bagi prosiding ini di mana PAC pernah memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Nafas untuk memberi penjelasan dan keterangan pada 26 Mac lalu serta melawat kilang Nafas di Gurun, Kedah pada 22 April lalu.

“Namun, sejak dua minggu lepas, isu Nafas telah menjadi topik hangat dan pertubuhan ini dianggotai 930,000 ahli peladang di seluruh negara.

“Sehubungan itu, PAC telah membuat keputusan untuk memanggil semula Nafas bagi menjelaskan isu yang sedang melanda pertubuhan berkenaan. Prosiding untuk Nafas akan ditetapkan pada minggu kedua Disember ini,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin mengumumkan penggantungan Perlembagaan Nafas berkuat kuasa hari sama bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Kemudian pada 29 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan peladang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN