OKU bukti kekurangan diri bukan penghalang genggam ijazah

OKU bukti kekurangan diri bukan penghalang genggam ijazah

Nor Elisha Mohd. Zaini membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk dirinya mengenggam segulung ijazah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dua graduan orang kurang upaya (OKU) menjadi tumpuan pada Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-62, apabila berjaya membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk menggenggam segulung ijazah.

Seorang daripada OKU berke­naan, Nor Elisha Mohd. Zaini, 24, dari Tumpat, Kelantan dilahirkan tanpa kaki dan menggunakan kaki palsu hampir setiap masa.

Di sebalik segala kekurangan itu, Nor Elisha, graduan Ijazah Sarjana Muda dengan pengkhususan dalam Sastera dan minor Bahasa Melayu, mampu menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun setengah.

Menurut wanita berhati waja itu, sepanjang tempoh penga­jian di USM, dia mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa dan rakan-rakan selain menerima bantuan khas daripada pihak universiti bagi memudahkan pergerakannya untuk ke mana-mana.

“Cabaran terbesar saya sepanjang pengajian adalah untuk menaiki bas kerana bas sentiasa penuh untuk ke kuliah. Namun, inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) untuk pelajar OKU dengan pemberian basikal elek­trik sangat membantu saya,” katanya di sini, semalam.

Menurut Nor Elisha, momen paling berharga apabila dia menerima Anugerah Dekan yang menjadi pembakar semangat untuk dia terus maju hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Saya merancang untuk me­nyambung pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Jika ada rezeki, saya ingin kembali ke USM untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana pula,” katanya.

Seorang lagi graduan OKU, Teoh Zan Feng, 24, yang lebih mesra disapa sebagai Ernest berkata, dia memilih untuk tinggal di asrama memandangkan lebih mudah untuk bergaul dengan rakan-rakan sekuliah dan dapat merasai kehidupan dalam kampus.

WALAUPUN cacat penglihatan, Teoh Zan Feng mampu menamatkan pengajiannya dengan mengenggam segulung ijazah dari USM.

“Saya lebih mudah untuk mengikuti kelas secara fizikal, tambahan pula kemudahan yang disediakan untuk golongan kelainan upaya amat baik di USM.

“Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa kerana sentiasa menjadi pendokong kuat untuk saya menamatkan pengajian,” kata graduan cacat penglihatan itu lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN