SHANGHAI: Malaysia komited memajukan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara BRICS demi kesejahteraan bersama dan pembangunan global yang lebih seimbang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan Malaysia dalam blok kerjasama itu didorong oleh prinsip dasar masa depan bersama yang diterima baik dalam kalangan negara di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Selatan Global.
“Kita mesti membina komuniti dengan masa depan bersama untuk menegakkan keamanan dan keselamatan global serta berkongsi pengalaman, kepakaran dan teknologi kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7 dan Forum Ekonomi Antarabangsa Hongqiao di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini, semalam.
CIIE adalah inisiatif Kerajaan China yang menyediakan platform untuk negara-negara yang terbabit dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi mempromosi serta mengimport produk dan perkhidmatan ke republik itu.
Anwar diberi penghormatan untuk berucap sejurus selepas ucapan Premier China, Li Qiang, sebelum lima pemimpin negara lain iaitu Perancis, Nicaragua, Arab Saudi, Tanzania dan Uzbekistan berucap.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ucapan Presiden China, Xi Jinping dalam persidangan BRICS di Kazan Rusia baru-baru ini sangat bermakna dalam konteks kebersamaan dan masa depan dunia.
“Saya juga ingin memberi perhatian khusus kepada ucapan luar biasa Xi Jinping pada Persidangan BRICS di Kazan baru-baru ini, di mana beliau menyeru dalam semangat masa depan bersama untuk menentang perpecahan,” katanya.
Terdahulu, Anwar tiba di Shanghai semalam sebagai perhentian pertama sebelum ke Beijing dalam rangka lawatan kerja beliau ke China atas jemputan Li Qiang selama empat hari hingga Khamis ini.
Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. – UTUSAN










