JOHOR BAHRU: Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) yakin mampu mengekalkan kedudukan sebagai pelabuhan pengendali kontena ke-15 terbaik dunia yang diraih tahun lalu.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Rosnan Fathlal berkata, ia berikutan momentum baik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sepanjang tahun ini yang dijangka mengendalikan sebanyak 10.5 juta kontena seperti tahun lalu.
“LPJ mengendalikan tiga pelabuhan, iaitu Pelabuhan Tanjung Langsat (PTL), Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) dan PTP yang mencapai kedudukan ke-15 terbaik dunia.
“Selain itu, kami berharap PPG akan kekal sebagai hab komoditi terutamanya pusat penyimpanan terbesar kelapa sawit dunia, manakala PTL baru sahaja diberi kebenaran mengendalikan kontena dan kami yakin kecekapan serta pengalaman operator akan menjadikannya pilihan baharu,” katanya pada Majlis Penutupan Karnival Madani LPJ 2024 di sini semalam.
Ia disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Ir. Mohamad Fazli Mohamad Salleh. Yang turut hadir, Pengurus Besar LPJ, Datuk Monaliza Suhaimi.
Rosnan berkata, karnival edisi kedua yang berakhir semalam itu dikunjungi lebih 6,000 pelawat, terutamanya penduduk sekitar Pasir Gudang.
Selain lawatan ke pelabuhan bersama-sama pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pihaknya menganjurkan pelbagai aktiviti menarik termasuk fun ride, explorace dan pertandingan mewarna.
Selain itu, turut diadakan bicara ad-din, podcast kewangan serta jualan makanan dan minuman serta produk usahawan.
“Kami bukan sahaja mahu semua pelabuhan di negeri ini maju, kami mahu penduduk sekitar sedar peluang pekerjaan yang disediakan dengan gaji lumayan serta peluang perniagaan.
“Selain itu, kami menyampaikan zakat sebanyak RM1.7 juta berbentuk tunai kepada asnaf, pengurusan surau dan pembinaan rumah kepada mereka yang layak,” katanya. – UTUSAN










