Kontraktor cemerlang diberi keutamaan projek kerajaan - Utusan Malaysia

Kontraktor cemerlang diberi keutamaan projek kerajaan

ALEXANDER Nanta Linggi (depan) menyertai program CSR Bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd. Bagi Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Jalan Ipoh-Lumut, Seri Iskandar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Kontraktor yang berjaya menyiapkan projek kerajaan dalam tempoh ditetapkan akan diberikan keutamaan dalam projek lain pada masa depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai prinsip yang akan dilaksanakan di peringkat kementerian itu sebagai menghargai kontraktor yang cemerlang dalam tugasan diberikan.

Jelasnya, ia melibatkan kontraktor yang berjaya melaksanakan projek mengikut tempoh masa ditetapkan, berkualiti, dan tidak melebihi kos ditetapkan.

“Kita akan ambil perhatian kalau mereka ambil bahagian dalam tender-tender yang akan datang, mungkin itu (kejayaan melaksanakan projek sebelum ini) boleh jadi satu ‘point’ baik untuk mereka.

“Bukan semestinya kita beri (projek) kepada mereka, ia juga bergantung kepada syarat-syarat tender ditetapkan terutama faktor harga, tetapi mereka diberi perhatian,” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd. Bagi Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Jalan Ipoh-Lumut, Seri Iskandar, hari ini.

Beliau juga meminta JKR untuk menyiapkan laporan prestasi kontraktor dan jika benar-benar cemerlang dimasukkan dalam senarai kontraktor berwibawa untuk dipertimbangkan untuk projek-projek di masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan semua syarikat konsesi jalan raya diminta melakukan CSR membersihkan bahu jalan, longkang serta sampah sarap di lokasi jagaan masing-masing.

Menurutnya, ia sebagai persediaan untuk mencegah banjir kilat akibat hujan lebat yang mungkin berlaku ketika musim Monsun Timur Laut, tidak lama lagi.

Selaras itu, jelasnya, KKR melaksanakan program penambah baikan fasiliti menerusi Bilik Gerakan Banjir atau ‘Big Ben’ agar dapat melakukan pemantauan masalah banjir kilat di lokasi di bawah penyeliaan kementerian itu.

Pada masa sama, jelasnya, KKR sedang mengaplikasi sistem teknologi khusus di beberapa lokasi sering dilanda banjir, dengan kawasan Jalan Persekutuan di Besut, Terengganu, menjadi projek perintis.

Beliau juga memberitahu, setakat September lalu, KKR telah berbelanja RM104 juta untuk kerja-kerja pembaikan cerun di 147 lokasi yang berisiko berlaku kejadian tanah runtuh di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya