Kereta terjunam, pemandu e-hailing hilang pendapatan

Kereta terjunam, pemandu e-hailing hilang pendapatan

KEADAAN kereta mangsa yang terjunam awal pagi semalam selepas berlaku insiden tanah runtuh kali kedua di Jalan Maju 1/14, Taman Lembah Maju, Pandan Indah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Insiden tanah runtuh pada 12 Oktober kembali berulang selepas sebuah kereta terjunam di Jalan Maju 1/14, Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini, semalam.

Kejadian tersebut berlaku berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi selepas hujan bermula pukul 2 pagi.

Pemilik kereta, Adrian Untam, 44, berkata, bunyi kuat tersebut didengari jirannya sebelum terus menghubunginya memberitahu kereta yang diparkir berdekatan kawasan itu terjunam.

“Saya berasa sangat sedih ke­rana kereta tersebut merupakan satu-satunya kenderaan keluarga dan ia punca pendapatan utama kami sekeluarga.

“Saya parkir di kawasan itu pada pukul 9 malam selepas pulang dari kerja dan sewaktu itu masih belum hujan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Adrian yang juga pemandu e-hailing, kereta tersebut dibelinya dua tahun lalu dan dijadikan sebagai punca pendapatan kira-kira lebih setahun lepas.

“Kini saya buntu untuk bekerja berikutan kereta saya sudah musnah, ditambah pula isteri tidak bekerja.

“Kami ada tiga orang anak yang berusia antara dua dan sembilan tahun,” katanya.

Penduduk berdekatan, Shaik Mohamed Sadiq Ali, 38, berkata, dia tidak menyangka kejadian sama akan berulang lagi semalam di lokasi sama.

Menurutnya, sejak 30 tahun lalu kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku dan kini mengakui mereka berasa takut dan bimbang setiap kali hujan kejadian akan berulang.

“Sekarang kalau hujan memang bimbang dan saya akan parkir kereta jauh daripada kawasan tebing dan longkang.

“Saya berharap selepas ini pi­hak berkenaan juga dapat membuat penghadang konkrit kerana sebelum ini memang tiada penghadang dan kawasan di situ terbuka (tanpa sebarang penghadang),” katanya.

Sementara itu, kawasan letak kenderaan di Jalan Maju 1/14 ditutup bagi kerja-kerja membaiki kejadian tanah runtuh.

Ahli Dewan Negeri Negeri (Adun) Teratai, Yew Jia Haur berkata, kejadian tersebut berlaku di lokasi kawasan tebing sama yang runtuh pada 12 Oktober lalu.

“Pihak Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) melalui pihak kontraktor dilantik akan melaksanakan kerja membaik pulih tebing berkenaan bermula semalam.

“Setakat ini pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Sela­ngor) sedang mengusahakan pembahagian bekalan air untuk 300 pemegang akaun sekitar Lembah Maju ekoran terdapat gangguan bekalan air selepas insiden tanah runtuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN